Sep 24, 2013

#PASKeluarPakatan : PAS Terbang Keluar Pakatan


PAS dengan kaedah tahalluf siasi-nya banyak mengundang kritik. Ternyata Pas tidak dominan dalam pakatan pembangkang di samping berdepan dengan masalah ideologikal dan hala tuju perjuangan.

Pas mendukung konsep Negara Islam dan Hukumah Islamiah. DAP masih tegar dengan konsep sosialis demokratiknya sementara Anwar Ibrahim dilihat cenderung kepada aliran liberalisme dan pluralisme agama.
Dalam Multaqa Ulama Pas di Alor Setar baru-baru ini terungkap resolusi supaya Pas menyemak kembali tahalluf siasi dengan pakatan parti yang lain.

Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hasan mencadangkan wajar tahalluf siasi dikaji semula. Ia adalah haram untuk diteruskan sekiranya mendatangkan keburukan atau kemudaratan terhadap perjuangan Islam.

Sepatutnya kajian dan unjuran terhadap tahalluf ini dikaji sejak awal lagi. Oleh kerana Pas tidak mengambil sikap terbuka terhadap kritik dan analisis menyebabkan banyak asas fundamental Islam tidak diberi perhatian.
Pas terpaksa meraikan kehendak Anwar dan DAP atas nama politik dan strategi. Tetapi strategi yang diambil oleh Pas merosakkan imej parti itu sendiri. Isu kalimah Allah yang diperjuangkan oleh Anwar menyebabkan Hadi Awang terjebak dan Pas menghadapi dilema. Bagaimana Majlis Syura Pas yang merupakan lembaga tertinggi memandu dasar Pas dibelakangkan Hadi.


Kelompok kiri dan sosialis yang bersama dengan pakatan menjadi bahan kritik Hadi sebelum pilihan raya. Pertandingan beberapa penjuru calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan calon Pas di DUN Kota Damansara adalah manifestasi pertembungan ideologi yang terjadi.

Tidak banyak yang Pas dapat lakukan sebagai sebuah wadah politik yang tentunya tidak melupakan aspek dakwah dan tarbiyyah terhadap kelompok-kelompok dalam pakatan.

Kalau Pengerusi DAP Karpal Singh tetap dengan sikapnya , “Langkah mayat aku dulu kalau nak laksanakan negara Islam" adalah testimoni betapa pendukung faham sosialis demokratik itu tidak meraikan Islam.

Kelompok DAP tentu tahu bahawa Islam bukan sekadar suatu sistem kepercayaan, ia adalah “suatu cara hidup dan juga suatu tamadun." Mereka tahu suatu ketika dulu Barat terhutang ilmu terhadap tamadun Islam untuk maju terutama dalam bidang sains dan teknologi. Kalau begitu apa kepentingan Pas bersama-sama dengan perjuangan DAP.

Hal yang sama dengan Anwar dan parti PKRnya.

Mungkin Pas bertanggapan Anwar adalah bekas Presiden ABIM dan teguh dengan dukungan pemikiran Islamnya.

Mengapa Pas tidak terbuka untuk mengkaji integriti Anwar dalam kepimpinan dan pemikirannya. Kecenderungan Anwar terhadap pluralisme agama seharusnya menimbulkan keinsafan kepada Pas bahawa demi politik sikap Anwar sering berubah-ubah.

Bila Anwar mempunyai hubungan baik dengan tokoh-tokoh Yahudi dan ahli Kongres Amerika Syarikat terutama semasa beliau menjawat Pengarah Foundation of the Futures 2006-2008, Pas tidak ambil kisah pun.
Bila Khalid Jaafar dari Institut Kajian Dasar dan orang kuat Anwar baru-baru ini di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur memberi makna tentang kebebasan yang tidak berasaskan syariat, Pas belum berkata apa-apa.
Bersangka baik terhadap seseorang adalah suatu perkara yang dituntut oleh agama. Tetapi sangka baik yang melulu tanpa usul periksa adalah ditegah oleh agama. Ia boleh membawa kepada musibah terhadap Islam dan umat itu sendiri.

Oleh itu mengkaji semula tahalluf siasi tidaklah terlalu lewat tetapi perlu ada keihklasan dan kesungguhan. Harus dikaji secara mendalam maslahah DAP berbaik dengan Pas walaupun DAP tahu perjuangan Pas mendukung risalah Islam.

Harus juga dikaji mengapa DAP ingin melantik Anwar sebagai Perdana Menteri sedangkan Karpal Singh pernah membuat kenyataan di Parlimen bahawa Anwar adalah “kaki liwat".

Karpal Singh dilihat amat mementingkan integriti tetapi mengapa dalam hal Anwar, pendiriannya berlainan.
Pas juga jangan lokek untuk mengkaji mengapa terlalu ramai kawan Anwar meninggalkannya. Isu mereka dibeli oleh Anwar adalah helah politik Anwar. Dari situ Pas akan akhirnya mempunyai maklumat yang baik untuk mengambil sikap dan membuat keputusan.

Tapi sayangnya, Hadi baru-baru ini berkata, Pas tidak melihat sebarang kemungkinan untuk keluar daripada pakatan pembangkang, sebaliknya mahu memperkuatkan lagi pakatan politik tersebut.


No comments:

Post a Comment