Sep 27, 2013

#PemilihanUMNO : UMNO wajib bebas belenggu politik wang



PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengatakan bahawa mata wang yang paling penting dalam perniagaan dan perdagangan adalah kepercayaan manakala dalam berorganisasi ataupun berpolitik adalah dapat menunaikan janji kepada rakyat sebagai ukuran tertinggi keberkesanan sesuatu kepimpinan.

Tentunya dalam memenuhi tanggungjawab kepada rakyat, integriti dan prinsip kebertanggungjawaban itulah yang sentiasa menjadi pengukur mutlak penolakan atau penerimaan rakyat untuk tempoh selanjutnya. Dalam memenuhi tuntutan itu, disebabkan seseorang pemimpin berada di puncak kuasa, maka ia akan menjadi lebih mudah terjebak dengan salah guna kuasa dan rasuah.

Ketika berucap di Syarahan Kelab Komanwel di San Francisco, Amerika Syarikat Isnin lalu, Najib bertekad untuk menjadikan rasuah sebagai sebahagian daripada perkara yang sudah berlalu bagi Malaysia.

Dalam kerajaan, tekad tersebut sudah ditunjukkan menerusi peningkatan autoriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan bebas yang setiap tahun wajib membentangkan laporannya di Dewan Rakyat berbanding sebelumnya hanya melaporkan kepada Perdana Menteri.

Selepas PRU-13, pembaharuan terus dilaksanakan dengan melantik bekas Presiden Transparency International cawangan Malaysia menganggotai Kabinet dan seterusnya menggalakkan pelbagai agensi melakukan bai‘ah memerangi rasuah menerusi pemeterian memorandum persefahaman dengan SPRM.


Sehingga kini, sebanyak 23 agensi dan institusi kerajaan, swasta, universiti dan badan bukan kerajaan berazam menjauhi rasuah agar ia terkeluar daripada etos kerja dan budaya masyarakat yang sedang cergas menuju ke tahap negara berpendapatan tinggi.

Tahun ini, buat pertama kalinya UMNO menterjemahkan makna demokrasi secara lebih meluas apabila memberikan ruang kepada 146,500 perwakilan memilih pemimpin mereka.

Dalam situasi melibatkan pertandingan, sama ada dua penjuru ataupun lebih, setiap calon yang bertanding akan berusaha menarik sokongan ramai bagi menentukan kemenangan. Ia mungkin berlaku dalam situasi terbuka ataupun tertutup. Penglibatan secara tertutup atau rahsia inilah memungkinkan berlakunya tawar menawar, termasuk politik wang atau rasuah.

UMNO tidak rela parti yang bertunjangkan perjuangan Melayu menjadi hancur kerana dibelenggu rasuah, maka itulah tidak pernah cuba menyembunyikannya daripada dikenakan tindakan meskipun pemimpin terbabit memenangi jawatan tertinggi dalam parti. Ini membuktikan UMNO berusaha untuk menolak amalan buruk itu kerana ia boleh melemahkan parti, dan dalam setiap pemilihan yang dilaksanakan, suatu jawatankuasa dibentuk khusus bagi meneliti sebarang tindakan yang boleh meruntuhkan integriti parti.

Kebiasaannya orang yang melakukan rasuah adalah disebabkan lahirnya segelintir manusia yang tidak percaya kepada keupayaan sebenar yang ada dalam dirinya. Bila kurang yakin dengan kebolehan, tetapi masih berpendapat dirinyalah yang paling layak itulah telah membuka ruang persaingan yang tidak sihat kerana sanggup menggunakan apa sahaja tindakan asalkan meraih kemenangan.

Tentunya, untuk melayakkan dirinya bertanding, seseorang itu memerlukan wang untuk membiayai kempen manakala sesetengahnya mempunyai penajanya tersendiri. Penaja pula mengharapkan calon yang disokong dan dibantu itu menang besar dengan harapan selepas kemenangan itu, penaja akan memperoleh keuntungan kebendaan berganda.

Itulah sebabnya ada segelintir pihak sanggup mengeluarkan dana jutaan ringgit semata-mata mahu menjadikan calon yang dipercayai boleh menang itu meraih kejayaan, kerana kejayaan itu dikaitkan pula dengan kuasa dan proses membina kekayaan.

Islam memandang rasuah seperti memakan daging sendiri yang sudah busuk. Pelakunya, sama ada pemberi atau penerima terdiri daripada mereka yang rosak peribadinya. Mereka yang rosak peribadi, meskipun dianggap kaya dan mempunyai kekuatan intelektual, tidak layak untuk memimpin kerana cenderung melanggar makna amanah dan tanggungjawab.

Pemberi dan penerima dikategorikan sebagai orang yang berdosa manakala balasannya adalah dicampakkan ke dalam neraka. Hanya mereka yang jujur, ikhlas dan kuat imannya yang wajib diangkat sebagai pemimpin, dan menjauhkan diri daripada memilih mereka yang rosak akhlaknya. Orang yang rosak akhlak bersikap oportunis dan meletakkan kepentingan peribadi mengatasi tanggungjawab memperkuatkan organisasi. Mereka berorganisasi hanya disebabkan meraih keuntungan peribadi.

Melakukan penyelewengan dalam hukum bererti melanggar perintah Allah. Hal ini dijelaskan dalam hadis yang diriwayat oleh Al-Tarmizi yang bermaksud: “Rasuah dalam urusan yang berkaitan dengan hukum adalah kufur." Sementara itu, dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Rasullullah bersabda: “Allah melaknat orang yang memakan riba, pemberi, kerani dan saksinya. Mereka itu adalah sama."

Rasulullah SAW juga pernah menolak permintaan seorang sahabat yang datang meminta agar diberi jawatan dalam pemerintahan. Baginda bersabda yang bermaksud: “Kami tidak akan memberikan jabatan pemerintahan ini kepada orang yang memintanya dan bercita-cita untuk mendapatkannya."

Alasan penolakan itu kerana bimbang orang yang bercita-cita tinggi seperti itu akan berani melakukan apa sahaja demi mendapatkan jawatan tersebut. Ada yang memberi alasan mengenai sesetengah pemimpin menggunakan pengaruh wang untuk mendapat jawatan dengan niat yang kukuh iaitu untuk membangunkan masyarakat dan negara.

Padahal niat yang baik tidak boleh menghalalkan kaedah atau perbuatan yang tidak baik. Lebih-lebih lagi merasuah orang untuk mendapat jawatan. Islam menetapkan niat dan perbuatan mesti betul iaitu kerana Allah. Kalau kita ikhlas untuk membantu masyarakat tanpa niat yang serong insya-Allah, Allah akan tolong orang yang ikhlas.

UMNO perlu melihat rasuah itu sebagai musuh paling berbahaya kerana jika dibiarkan, pertubuhan yang diasaskan sebagai perjuangan memperkuatkan kedudukan Melayu dan Islam dalam persada politik akan lenyap sebagaimana hilangnya burung-burung garuda - burung raksasa yang suatu ketika dahulu amat besar dan digeruni. Kini, burung-burung garuda itu hanyalah tinggal nama sahaja.

Pengalaman sejarah turut memberikan pengajaran besar, sebuah organisasi yang kuat pada suatu ketika runtuh kerana adanya sikap tamak dan haloba. Tamak dan haloba inilah dikenal pasti sebagai pendorong terbesar kenapa terjadinya rasuah, maka, setiap orang UMNO perlukan iltizam yang bersungguh-sungguh kalau mahukan UMNO terus dipercayai sebagai pertubuhan politik yang kuat dan disegani.

UMNO hendaklah tidak hanya tahu mengatakan rasuah atau politik wang itu ditentangnya tetapi dalam masa yang sama, ada pemimpinnya bertindak sebagai pemberi atau penerima dengan apa pun alasannya.

Tekad itu mesti disusuli dengan tindakan agar pemilihan kali ini benar-benar boleh dikategorikan sebagai sejarah pemilihan yang bebas daripada sebarang bentuk politik wang. Jika ini dapat dicapai, keyakinan rakyat kepada UMNO akan meningkat naik, dan pencapaian dalam PRU-14 akan menjadi lebih hebat daripada kemenangan PRU-13.

No comments:

Post a Comment