Sep 25, 2013

#PASKeluarPakatan : Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera: Menilai strategi politik Pas



PARTI Islam Se-Malaysia (Pas) pastinya mempunyai strategi yang tersendiri dalam memperhalusi pengumuman pemerkasaan agenda ekonomi Bumiputera baru-baru ini. Sama ada mereka mahu menerima hakikat atau tidak, Pas antara parti politik yang mendapat kesan negatif dalam pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

Mungkin kesan negatif kepada Pas tidaklah besar, namun ia cukup untuk menumbangkan beberapa nama ‘besar’ parti tersebut. Mahu tidak mahu, Pas perlu cepat menyusun kerangka politik yang baru, khusus untuk memastikan undi orang Melayu tidak akan terus merosot.

Namun begitu, dalam konteks agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera, nampaknya Pas masih memainkan strategi yang lebih kurang sama dengan DAP. Tidak jauh beza. Kalau kita menggunakan enjin carian ‘Google’, terdapat kurang lebih 2,430 artikel Harakahdaily berkait agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

Sepuluh artikel yang pertama nyata sangat negatif dan bersangka jahat. Artikel utama, menganggap agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera sebagai ‘komedi’. Malah, akhbar online milik Pas tersebut mengaitkan agenda pemerkasaan ini sebagai Comedy of Errors’, bersempena novel klasik Shakespeare.


Kita boleh faham, jika Lim Kit Siang dan komrad partinya bangun di Parlimen dan memburukkan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera. Namun, untuk melihat Pas tidak mencari ‘titik persamaan’, sekali gus memperjuang isu yang lebih sealiran dengan UMNO adalah sesuatu yang dirasakan tidak strategik.

Kenapa kita tidak menyaksikan lagi kalangan wakil rakyat Pas yang berani membicarakan isu ekonomi Bumiputera di Parlimen. Apakah isu pemerkasaan ekonomi Bumiputera sudah dijadikan quid-pro-quo politik tinggi tahaluf siyasi dalam pakatan pembangkang?

Agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera bukanlah agenda lawak jenaka dan wajar dipandang sinikal. Apakah strategi pembangunan modal insan - melibatkan latihan teknikal anak muda Bumiputera dianggap komedi? Apakah puluhan ribu anak muda yang bersama dengan program Giatmara (221 pusat) dan hampir dua puluh ribu pengambilan suatu komedi kepada Pas?

Matlamat ‘Pas for All’

Keputusan PRU-13 seharusnya memberikan sedikit muhasabah politik kepada Pas bahawa sokongan orang Melayu kepada parti tersebut merosot. Ya, benar, situasi itu tidak berlaku di Kelantan. Sokongan orang Melayu kepada Pas masih mantap. Namun, asas politik sama tidak terpakai di negeri lain.

Kalangan pimpinan Pas yang lebih bersedia untuk bercakap dan memperjuangkan isu pemerkasaan ekonomi Bumiputera pastinya mampu menarik pengundi Melayu. Sayangnya, dalam isu ekonomi Bumiputera, Pas seperti terkunci mati dengan perjanjian politik sesama rakan politik.

Mungkin kalangan pimpinan Pas wajar meninjau semula bagaimana pimpinan Pas dahulu seperti Datuk Mohamed Asri Muda (Kota Bharu Hulu), seperti dalam Hansard Parlimen (25 Februari 1971) yang selesa untuk memperjuangkan isu melibat kepentingan ekonomi Bumiputera.

“Mari-lah, Tuan Yang di-Pertua, kita tinjau sa-pintas lalu sa-jauh mana kedudokan orang2 Melayu semenjak kita merdeka. Saya tidak mahu mengupas keselurohan aspek, tetapi saya ingin mengupas kedudokan orang2 Melayu di-bidang2 yang tertentu yang menyentoh dengan kedudokan fasal2 dalam Perlembagaan Persekutuan saperti Fasal 152, 153 dan sa-bagai-nya."

Ayat-ayat begini cukup jarang kita dengar daripada mulut pimpinan Pas. Dalam isu tertentu, termasuk kepentingan ekonomi Bumiputera sekalipun, tidak banyak beza antara pimpinan Pas dan kalangan komrad politik mereka dalam DAP.

Trend ini akan menjauhkan minat orang Melayu-Bumiputera kepada Pas. Penulis pasti, jika post-mortem PRU-13 dilakukan secara ikhlas, Pas dapat melihat bagaimana parti tersebut agak gagal menarik minat pengundi Melayu-Bumiputera.

UMNO juga tidak boleh tampil selesa. Walaupun sokongan pengundi Melayu-Bumiputera di Johor, Sarawak, Melaka dan Negeri Sembilan agak tinggi - sokongan yang agak rendah seperti di Terengganu dan Kedah, sebagai misal, tidak boleh diambil mudah.

Agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera tidak boleh lagi menjadi agenda ‘bermusim’ dan sekadar penyedap hati. Penulis yakin, lebih ramai rakyat yang mahu melihat agenda pemerkasaan ini dilaksanakan bersesuaian dengan komitmen Perdana Menteri.

Pas yang bersedia duduk semeja dengan UMNO, memberikan pandangan dan perincian mengenai agenda besar pemerkasaan ekonomi ini dirasakan memberi kesan ‘menang-menang’ kepada kedua-dua parti.

Lebih daripada itu, jika Pas tidak bersetuju dengan agenda sedia ada, inilah masanya menampilkan alternatif yang lebih baik. Pas tidak perlu rasanya ‘aci lut’ dalam isu ekonomi Bumiputera - dan hanya berada di barisan belakang ‘agenda ekonomi Tony Pua dan Rafizi Ramli’.

Kudrat pemikiran kalangan profesional dalam Pas mesti dicerna, bagi memberikan polisi balas yang lebih mantap dalam isu pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

Perlu ditegaskan, penulis bukan ahli Pas, namun menjadi harapan penulis bahawa ada titik persamaan yang boleh dijayakan UMNO-Pas dalam agenda ekonomi Bumiputera ini.

No comments:

Post a Comment