Apr 6, 2017

Rogol & Kahwin: Teks Penuh Perbahasan Ahli Parlimen Tasek Gelugor.



Berikut merupakan Hansard Penuh ataupun Penyata Rasmi perbahasan Datuk Shabudin Yahaya, Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang menjadi kontroversi kononnya beliau menyatakan bahawa mangsa rogol perlu berkahwin dengan si perogol.

[Video penuh boleh dicapai di sini ihsan daripada Saudara Raziz Rashid] [Bahagian yang telah dibold merupakan teks di mana Datuk Shabudin menyentuh tentang isu tersebut.]



Datuk Haji Shabudin bin Yahaya [Tasek Gelugor]: Terima kasih Yang Berhormat Tuan Pengerusi, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk membahaskan usul yang dibawa oleh Yang Berhormat Kulai dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Kulai yang telah pun memberikan pandangan-pandangan yang telah dinyatakan sebentar tadi. Cuma di sini saya juga ingin berkongsi pandangan dan memberikan beberapa hujah-hujah dan perkara-perkara yang perlu kenapa usul ini tidak boleh diterima dan kenapa usul ini tidak bersesuaian dengan keadaan kita di Malaysia.

Pertama sekali, kita perlu memahami bahawa sebenarnya bagi negara kita di Malaysia kita mempunyai dua undang-undang salah satunya ialah Enakmen Keluarga Islam yang digunakan di negeri-negeri termasuklah juga Enakmen Keluarga Islam di Wilayah Persekutuan. Dalam enakmen ini, yang telah pun diluluskan dan juga akta yang telah pun diluluskan oleh Parlimen ataupun di setiap Dewan Undangan Negeri berlandaskan kepada roh ataupun spirit Perlembagaan yang memberi ruang yang meletakkan pengamalan undangan-undang syariah itu sebagai suatu undang-undang yang diterima pakai oleh Perlembagaan.

Maka dengan sebab itu kalau kita merujuk terutama sekali dalam Enakmen Keluarga Islam di negeri-negeri, saya mengambil contoh kalau di tempat saya di negeri Pulau Pinang, Enakmen Keluarga Islam (Pindaan) Tahun 2004 dan saya rasa negeri-negeri lain pun lebih kurang pada tahun yang sama juga telah pun dibuat pindaan di mana dalam seksyen 8 telah menetapkan bahawa umur perkahwinan bagi seorang lelaki- untuk seorang Muslim ialah 18 tahun. Tadi Yang Berhormat Kulai ada menyebutkan di Algeria dan sebagainya umur perkahwinan adalah 18 tahun, sebenarnya di Malaysia pun telah menetapkan bahawa umur perkahwinan lelaki itu di atas 18 tahun. Begitu juga bagi seorang perempuan Muslim apabila dia berumur 16 tahun dan ke atas maka dia boleh memohon untuk berkahwin.

Jadi dalam hal ini, umur 16 atau 18 tahun itu adalah merupakan umur yang telah pun dipersetujui secara undang-undang dan juga oleh syarak di dalam urus urusan nikah kahwin orang-orang Islam. Cuma dalam hal ini, bagi satu keperluan mashalih mursalah dan juga maslahat umum maka ada satu lagi peruntukkan ataupun klausa dalam seksyen 18 yang memperuntukkan bahawa bagi kes-kes tertentu di bawah umur 16 tahun bagi seorang gadis apabila ianya perlu dikahwinkan, maka ia mestilah mendapat terlebih dahulu kebenaran daripada Mahkamah Syariah.

Jadi dalam hal ini, sistem kita sudah begitu cantik dan sempurna kalau kita melihat bagi kes-kes perkahwinan bawah umur 16 tahun dia tidak boleh dengan sewenang-wenangnya dikahwinkan. Ia mesti merujuk kepada keputusan Hakim Mahkamah Syariah terlebih dahulu dan Hakim Mahkamah Syariah mempunyai kriteria dan juga pertimbangan-pertimbangan yang khusus terutama sekali pertimbangan-pertimbangan yang dilandaskan daripada kehendak-kehendak syariat, kehendak-kehendak dan tuntutan agama dan Hakim Mahkamah Syariah juga tidak boleh sewenang-wenangnya memutuskan suatu perkahwinan boleh dilakukan bagi seorang gadis berumur 16 tahun dan ke bawah.

Dalam hal ini kalau kita melihat, di antara perkara-perkara yang menjadi pertimbangan kepada hakim-hakim di peringkat mahkamah syariah ialah tentang kemaslahatan kepada anak gadis tersebut. Sekiranya dipertimbangkan, ada maslahat, ada kebaikan, ada kepentingan bahawa seorang gadis itu dikahwinkan, malah apabila ianya dipersetujui oleh walinya iaitu bapa ataupun wali-wali yang lain, maka kewajaran pernikahan itu boleh dilangsungkan.

Jadi dalam hal ini, tidaklah boleh sewenang-wenangnya seorang gadis di bawah 16 tahun berkahwin dengan mana-mana lelaki. Tetapi isu yang di timbulkan oleh Yang Berhormat Kulai...

Dr. Hajah Siti Mariah binti Mahmud [Kota Raja]: Penjelasan.

Datuk Haji Shabudin bin Yahaya [Tasek Gelugor]: Akan tetapi isu yang ditimbulkan oleh Yang Berhormat Kulai dalam beberapa contoh yang disebutkan tadi, saya melihat seolah-olah ia adalah merupakan dua perkara iaitu isu tentang jenayah seksual dan isu tentang perkahwinan bawah umur. Kedua-dua perkara ini boleh dilihat secara berasingan. Isu jenayah seksual, berlakunya persetubuhan haram dengan seorang perempuan di bawah umur 16 tahun adalah boleh ditakrifkan sebagai perlakuan rogol. Maka dalam hal ini, dalam Islam sendiri pun tidak memberikan apa-apa pengecualian.

Maka sekiranya ada apa-apa peraturan undang-undang yang boleh menghukum orang yang merogol, maka undang-undang rogol itu boleh dijalankan. Akan tetapi dalam masa yang sama, dia tidak mengganggu sekiranya pasangan itu diputuskan ataupun dipersetujui untuk berkahwin kerana tidak salah seorang gadis di bawah umur 16 tahun bersabit dengan rogol, dia berkahwin dengan orang yang merogolnya. Itu dari segi undang-undang perkahwinan tidak ada apa-apa kesalahan. Akan tetapi kesalahan yang berlaku di sini ialah orang yang merogol itu.

Merogol seorang gadis di bawah umur 16 tahun, itu adalah satu isu lain, isu jenayah yang mana
orang yang berkenaan boleh dan memang sepatutnya pun dikenakan apa-apa peraturan yang
telah dikuatkuasakan di dalam negara kita...


Dr. Hajah Siti Mariah binti Mahmud [Kota Raja]: Yang Berhormat Tasek Gelugor.

[Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Sri Haji Ismail bin Haji Mohamed Said)
mempengerusikan Jawatankuasa]

Datuk Haji Shabudin bin Yahaya [Tasek Gelugor]: Jadi, jadi dalam hal ini kita perlu tahu mengasingkan antara isu mengharamkan perkahwinan di bawah umur 16 tahun dengan isu jenayah yang berlaku tadi. Jadi...

Tuan Pengerusi [Dato’ Sri Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Yang Berhormat
Tasek Gelugor.

Dr. Hajah Siti Mariah binti Mahmud [Kota Raja]: Ingin penjelasan.

Tuan Pengerusi [Dato’ Sri Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Ya, Yang Berhormat

Tasek Gelugor. Yang Berhormat Kota Raja bangun.

Datuk Haji Shabudin bin Yahaya [Tasek Gelugor]: Ya, sekejap. Saya habiskanpenjelasan saya sikit. Jadi dalam hal ini, apa yang kita lihat, apa yang perlu kita pertimbangkan, perhalusi betul-betul ialah dari segi positifnya. Dari segi positifnya apabila ada undang-undang yang membolehkan seorang perempuan bawah 16 tahun itu berkahwin kerana dalam hal ini kalau kita lihat, ada perkara-perkara yang boleh mendatangkan kebaikan dan bukan ramai pun yang berkahwin di bawah umur 16 tahun ini.

Jadi dalam hal ini, sekiranya, tadi Yang Berhormat Kulai menyebut, “Oh! Dia akan menyebabkan berlakunya penceraian.” Cuma satu, dua kes yang berlaku penceraian. Akan tetapi lebih banyak kes yang tak berlaku perceraian pun. Malah, anak gadis yang berkenaan lebih selamat apabila dikahwinkan daripada dibiarkan begitu sahaja. Kebanyakan kes-kes perkahwinan – saya bercerita sebab pengalaman saya juga dulu Hakim Mahkamah Syariah.

Pengalaman saya melihat, ada anak-anak yang di bawah 16 tahun tetapi dia sukar dikawal oleh keluarga dia. Kehidupan dia agak begitu liar dan sebagainya. Akan tetapi bila kita dengan persetujuan walinya dan dengan keadaan dirinya yang begitu, apabila gadis ini dikahwinkan dan dia telah pun dijaga dengan begitu baik oleh suaminya dan juga di bawah pengawasan keluarga dia. Maka mereka hidup dalam sebuah keluarga yang aman damai dan tidak ada masalah yang begitu teruk. Akan tetapi apa pun yang saya boleh simpul di sini ialah bukan semua perkahwinan itu bersewenang-wenang, dipermudahkan, tidak.

Berkecuali perkahwinan yang bawah umur ini mestilah dengan pertimbangan yang paling wajar oleh pihak mahkamah dan barulah kebenaran itu diberikan. Silakan.

Tuan Pengerusi [Dato’ Sri Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Ya, Yang Berhormat
Kota Raja.

Dr. Hajah Siti Mariah binti Mahmud [Kota Raja]: Terima kasih Tuan pengerusi, terima kasih Yang Berhormat Tasek Gelugor. Alhamdulillah, saya rasa dengan pengalaman sebagai Hakim Mahkamah Syariah itu yang penjelasan yang telah diberikan. Cuma saya hendak tanya, bagaimana ya, kita sudah ada peraturan ini dan hakim telah, maknanya mempunyai discretion dia untuk membenarkan perkahwinan di bawah 16 tahun ini, boleh melepaskan ataupun boleh membenarkan umur 12 tahun, agak sangat muda.

Saya setuju bahawa kalau zaman ibu bapa kita dulu 16 tahun, 15 tahun kerana itu adalah norma di masa zaman mereka. Akan tetapi norma pada zaman kita adalah kanak-kanak itu umurnya lebih tinggilah sebelum dia melepasi zaman kanak-kanak. Cuma saya hendak bertanya pendapat Yang Berhormat Tasek Gelugor, bagaimana kalau pendapat kita meletakkan tarikh umur perkahwinan 18 tahun dan bawah daripada 18 tahun untuk orang Islam juga melalui kebenaran mahkamah kerana ini akan memberi lebih timbang tara. Maknanya 16 tahun atau 18 tahun pun perlu melalui mahkamah juga supaya kita boleh menangkis ataupun kita ada lebih measures untuk memastikan bahawa tidak terlepas yang 16 ke 18 tahun ini.

Sekiranya bawah daripada 16 tahun itu garis panduan kepada mahkamah dan sebagainya lebih ketat sebab saya kurang bersetuju jugalah kalau kita hendak menyelesaikan masalah keliaran anak itu, kita kahwinkan dia. Kalau suaminya itu seorang yang boleh mendidik dia, tak apa. Akan tetapi kalau dapat suami pun haprak juga, minta maaf saya guna, maka dia bakal menjadi mangsa.

Jadi maka, penilaian hakim itu saya rasa perlu lebih terperinci untuk melindungi, bukan untuk menghalang. Saya meminta supaya kita umat Islam melihat kepada perkara ini secara positif dan bukan secara negatif. Mungkin hakim-hakim ataupun para ulama boleh melihat semula perkara ini kerana perkara ini menjadi sesuatu perkara yang jadi negatif walaupun kita kata tidak ramai kes yang begini. Akan tetapi biasanya yang tak ramai itu, “nila setitik maka rosak susu sebelanga”. Terima kasih.

Datuk Haji Shabudin bin Yahaya [Tasek Gelugor]: Terima kasih, lupa dah.

Seorang Ahli: Yang Berhormat Kota raja.

Datuk Haji Shabudin bin Yahaya [Tasek Gelugor]: Terima kasih Yang Berhormat Kota Raja atas pandangan tadi. Cuma di sini kita perlu melihat bahawa di Malaysia bukan sekadar undang-undang di Mahkamah Syariah, tetapi undang-undang Mahkamah Anak Negeri, Native Court juga di Sabah, Sarawak pun memberikan condition yang lebih kurang macam yang dipraktikkan di Mahkamah Syariah.

Cuma di sini apa yang perlu kita ambil perhatian ialah bukan masalah bila kita katakan umur di bawah 16 tahun itu kita kata kanak-kanak itu tidak matang. Seorang gadis ini, kematangannya apabila sampai umur baligh, umur 9 tahun sudah matang dan biasanya kadang-kadang ada kes. Macam tadi, kita kata umur 12 tahun ataupun umur 15 tahun, kita tak nampak lagi macam mana fizikal tubuh badannya. Sebab ada anak yang berumur 12 tahun atau 15 tahun pun tubuh badannya pun sudah menunjukkan dia seolah-olah macam gadis berumur 18 tahun.

Jadi, dalam hal ini tidak mustahil kalau dia dikahwinkan dan dia sudah mencapai akil baligh daripada umur 9, dia umur 12 tahun dengan keadaan mungkin tubuh badan yang sama seperti umur 18 tahun, maknanya dari segi fizikal dan juga dari segi spiritualnya juga tidak menjadi satu halangan untuk dia berkahwin. Oleh sebab itu dalam Islam dan juga dalam Native Court ini telah mengambil kira keadaan tersebut. Kemudian saya juga...

Tuan R. Sivarasa [Subang]: Boleh minta penjelasan sedikit?

Datuk Haji Shabudin bin Yahaya [Tasek Gelugor]: Sekejap. Saya juga ingin mengulas sedikit tentang apa yang Yang Berhormat Kota Raja sebut tentang dapat suami yang haprak dan sebagainya. Benda ini benda yang subjektif dan unpredictable, kita pun tak boleh jangka.

Kadang-kadang kahwin dengan seorang cikgu pun, saya pun pernah handle kes. Suami cikgu
tetapi liwat isteri.

Seorang Ahli: Haprak.

Datuk Haji Shabudin bin Yahaya [Tasek Gelugor]: Dia kahwin, dia liwat isteri dia. Kita jangka, kita agak, “Oh! Dia ini seorang yang terpelajar, seorang yang baik.” Akan tetapi perlakuannya juga belum tentu. Jadi jangan kita terus katakan, seorang gadis itu dia berkahwin dengan seorang suami dia dan mungkin suami itu pernah merogol dia dan kita terus katakan suami itu adalah orang yang tidak baik, haprak dan jahat sepanjang masa. Mungkin dia ada proses dia. Mungkin dia bertaubat, mungkin dia menyesal malah dia, mungkin orang yang menyesal ini lebih baik daripada orang yang tak pernah menyesal.

Jadi, maknanya dalam hal ini kita jangan meletakkan satu assumption, normal assumption kata setiap orang akan terus menerus jadi jahat. Jadi sebagai langkah the exit clause untuk kesimpulan daripada masalah kita.

Dato’ Dr. Nik Mazian Nik Mohamad [Pasir Puteh]: Yang Berhormat Tasek Gelugor, laluan sikit. Laluan sikit Yang Berhormat Tasek Gelugor. Tadi rogol atau berzina? Kalau zina dia consensual. Dia bersetuju tetapi rogol ini dipaksa. Itu kesalahan jenayah besar.

Datuk Haji Shabudin bin Yahaya [Tasek Gelugor]: Betul. Okey, saya terima. Masalah dia zina kah, masalah dia rogol kah, yang paling penting ialah apabila mereka melalui satu proses keinsafan. Proses mereka bertaubat. Orang berzina, orang rogol ini kesalahannya tetap kesalahan jenayah. Akan tetapi mereka ini mempunyai satu peluang. Mungkin dengan sebab perkahwinan itulah mereka dapat melalui satu kehidupan lain yang lebih sihat, yang lebih baik.

Seorang isteri yang dirogol tadi, kalau dia dapat berkahwin, dia tidak akan melalui satu jalan kehidupan masa depan yang gelap.

Sekurang-kurangnya dia ada suami dia, ada orang yang boleh menjadi suami dia pada ketika itu. Itu adalah satu remedi kepada masalah-masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat kita.

Dr. Hajah Siti Mariah binti Mahmud [Kota Raja]: Saya mencelah sekali lagi, minta izin. Terima kasih. Sekejap sahaja. Saya cuma...

Tuan Pengerusi [Dato’ Sri Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Yang Berhormat, Yang Berhormat, ya lah, satu perbahasan yang cukup baik. Cuma, elok kita tumpukan kepada pindaan yang dibuat kerana ini di peringkat Jawatankuasa.

Dr. Hajah Siti Mariah binti Mahmud [Kota Raja]: Saya nak pergi sedikit kepada
mengenai dengan...

Tuan Pengerusi [Dato’ Sri Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Yang Berhormat, Yang Berhormat, saya belum habis lagi, Yang Berhormat. Kalau boleh, Yang Berhormat Tasek Gelugor, ringkas dan tumpu kepada pindaan-pindaan mengikut fasal-fasal kita ya, Yang Berhormat. Kalau di peringkat dasar, boleh Yang Berhormat cakap panjang dan boleh menyentuh perkara-perkara keseluruhannya, Yang Berhormat. Ya, Yang Berhormat Kota Raja.

Dr. Hajah Siti Mariah binti Mahmud [Kota Raja]: Saya sedikit sahaja. Terima kasih, Tuan Pengerusi. Tadi saya nak ambil apa yang Yang Berhormat Tasek Gelugor sebut tentang umur dan kematangan. Dia seolah-olah sekarang ini ada kontradiksi di antara apa yang diperkatakan oleh Menteri dalam kita nak meluluskan undang-undang ini yang meletakkan kanak-kanak bawah 18 tahun ini tidak boleh membuat keputusan sendiri, senang dimangsakan, tetapi Yang Berhormat Tasek Gelugor mengatakan bahawa ia tidak semestinya begitu, ada yang matang, ada yang ini. Jadi sekarang kita tengok ada kontradiksi. Ini perlu kita selaraskan di negara kita, kita satu negara, supaya perdebatan begini tidak berleluasa. Terima kasih.

Tuan R. Sivarasa [Subang]: Yang Berhormat Tasek Gelugor, boleh saya?

Tuan Pengerusi [Dato’ Sri Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Yang Berhormat Subang, sekejap, Yang Berhormat. Sebab itu daripada hari semalam pukul 12 bermula sampai ke petang, Yang Berhormat Menteri tegaskan mengenai umur. Yang Berhormat Menteri telah berulang-ulang kali untuk menjawab. Jadi kalau kita panjang-panjangkan fasal umur ini, dalam akta pun- Yang Berhormat Menteri saya percaya, Yang Berhormat Menteri tidak akan menjawab lagi.

Tuan R. Sivarasa [Subang]: Ini bukan isu umur.

Tuan Pengerusi [Dato’ Sri Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Jadi kita tumpukan kepada fasal-fasal pindaan, Yang Berhormat. Saya tidak menghalang untuk perbahasan panjang-panjang, tidak menghalang, tetapi kita sekarang ini di peringkat Jawatankuasa, Yang Berhormat. Sila.

Tuan R. Sivarasa [Subang]: Terima kasih kepada Tuan Pengerusi dan...

Datuk Haji Shabudin bin Yahaya [Tasek Gelugor]: Tak lah kot. Saya nak tutup ini.

Tuan R. Sivarasa [Subang]: Boleh saya bangkitkan satu isu sahaja? Ringkas. Terima kasih Yang Berhormat Tasek Gelugor. Tadi Yang Berhormat Tasek Gelugor membangkitkan isu Yang Berhormat Tasek Gelugor bezakan topik yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kulai ialah bezakan jenayah seksual dengan isu perkahwinan dan juga disebut isu rogol dalam kes-kes itu.

Isu rogol melibatkan lelaki menggunakan kekerasan terhadap seorang wanita tanpa persetujuan, itu jelas. Tapi kita semua tahu, undang-undang negara kita juga memperuntukkan bahawa kalau dalam hubungan seks itu melibatkan gadis bawah 16 tahun, isu persetujuan tidak timbul langsung dan itu dianggap sebagai rogol dan satu jenayah yang serius yakni hukum dengan penjara. Itulah sistem perundangan kita.

Jadi saya nak tanya kepada Yang Berhormat Tasek Gelugor, adakah Yang Berhormat Tasek Gelugor faham logik dan asas pendirian itu dalam undang-undang yang kita terima di negara kita iaitu gadis bawah 15 tahun tidak boleh consent? Memandangkan premis itu, adakah patut dan wajar kita seragamkan pendekatan dan sekurang-kurangnya, perkahwinan dengan gadis-gadis di bawah 16 tahun patut diharamkan, sekurang-kurangnya? It is banned in a minimal position. Akan tetapi lebih baik kita gunakan 18 tahun sebagai satu standard yang uniform. Tapi kalau kita just selaraskan dengan undang-undang jenayah, tidak boleh kita benarkan apa-apa perkahwinan yang sekarang berlaku dengan gadis-gadis bawah 16 tahun. Secara logiknya, itu dah jelas, tidak kira agama kah apa-apa, sebab sistem perundangan kita, sistem jenayah kita terpakai kepada semua, tidak mengambil kira agama. Terima kasih.

Datuk Haji Shabudin bin Yahaya [Tasek Gelugor]: Terima kasih. Last, Tuan Pengerusi. Saya nak menyebut tentang apa yang disebutkan oleh Yang Berhormat Subang tadi. Kita bersetuju sekiranya berlaku rogol dan sebagainya, itu kes jenayah. Sebab itu saya kata tadi bagi kes-kes yang tetap jenayah, maknanya jenayahlah. Nak dihukum dengan apa-apa peraturan undang-undang yang kita ada, dia kena hukumlah.

Akan tetapi, dari segi perkahwinan, kita tidak boleh selaraskan sebab kita sudah ada peraturan 16 tahun bagi gadis dan juga 18 tahun bagi teruna. Dalam Islam, seorang gadis apabila dia mencapai umur baligh 9 tahun dan ke atas, walinya ada hak. Walinya iaitu bapa dia atau datuk dia dan sebagainya, ada hak untuk menikahkan anak-anak. Ini bab agamalah pula. Wali dia ada hak untuk menikahkan anak itu.

Akan tetapi, untuk menjaga kebajikan anak tersebut supaya tidak dianiaya oleh walinya saya pun tidak tahu perkataan aniaya itu tepat tidak tepat tapi saya kata begitu. Maknanya, supaya walinya tidak membuat sesuatu yang di luar bidang walaupun dia mempunyai kuasa untuk menikahkan anak dia pada ketika umur 9 tahun dan ke atas, tetapi sebab itu dalam undang-undang kita juga telah mengambil kira hal ini, sebab itulah ditetapkan sekiranya dia berumur 16 tahun dan ke bawah, mesti wali tadi mendapat kebenaran daripada mahkamah terlebih dahulu.

Sekiranya 16 tahun dan ke atas, maknanya anak tadi dia boleh berkahwin juga dengan kebenaran wali tapi tidaklah perlu wali memohon satu kebenaran khas daripada pihak mahkamah, wali boleh mengahwinkan secara biasa. Akan tetapi kalau 16 tahun dan ke bawah, wali dia yakni bapa dia nak kahwinkan dia, dia mesti mendapat approval daripada mahkamah. Jadi dalam hal ini...

Tuan R. Sivarasa [Subang]: [Bangun]

Datuk Haji Shabudin bin Yahaya [Tasek Gelugor]: Sekejap. Saya nak jelaskan. Dalam hal ini, maknanya consideration tentang keadilan, tentang kesesuaian dan sebagainya telah pun dibincangkan dan diambil pendapat dan sebab itulah diwujudkan undang-undang dan peraturan ini.

Tuan R. Sivarasa [Subang]: Terima kasih. Ringkas.

Datuk Haji Shabudin bin Yahaya [Tasek Gelugor]: Saya ingat nanti masa lainlah. Saya nak tutup di sini dan saya dengan ini tidak menyokong usul yang dibawa oleh Yang Berhormat Kulai yang disebut, “Walau apa pun, apa-apa yang berlawanan dalam mana-mana undang-undang bertulis yang lain, perkahwinan yang melibatkan kanak-kanak adalah diharamkan”. Jadi saya menolak usul ini. Terima kasih Tuan Pengerusi.

1 comment: