Jan 14, 2014

#Eksklusif : Antara Sultan Melaka, #Kangkung dan Mahkamah.

Kecoh diperkatakan di media sosial baru-baru ini tentang perihal kangkung. Ini semua berpunca apabila misalan dan sindiran DS Najib Razak pada hari Ahad yang lalu dipermainkan oleh media pro-pembangkang. Kononnya berita pada malam tersebut dikatakan khas untuk DS Najib mengumumkan harga kangkung turun lalu diminta rakyat untuk memuji kerajaan BN oleh kerana itu.

Saya tidak mahu menceritakan tentang perihal kangkung ini dengan lebih lanjut kerana terlalu muak mendengarnya. Muak bukan kerana diulang-ulang oleh media pro-pembangkang tetapi kerana tiada satupun usaha yang ditunjukkan oleh media pro-kerajaan untuk membalas semula ejekan jahat tersebut. Jika dahulunya, media pro-kerajaan dengan pantas dan tuntas akan melawan semula ejekan jahat tersebut namun kini, seolah-olah pihak media pro-pembangkang sahaja yang wujud di media maya ini.
Lebih lawak lagi apabila pengamal media sosial pro-pembangkang terpaksa mengheret bekas panglima media online UMB, Tun Faisal untuk provok beliau supaya bertindak-balas atas ejekan tersebut. Dengan nada sindir, Tun hanya menyatakan bahawa beliau tidak mahu 'syok-sendiri' (merujuk kepada artikel Khairy Jamaluddin di Utusan) dan hanya mahu ber'lifestyle' (sindiran kepada Ibdillah Ishak). Nampaknya pengamal media pro-pembangkang tidak berminat untuk menyerang kedua-dua individu ini kerana bagi mereka 'tidak ada fight'.




Lain pula kisahnya pada hari ini apabila setelah 10 laporan dibuat terhadap Raja Noor Jan Shah yang mengaku dirinya sebagai waris tunggal takhta Sultan Melaka ditahan oleh pihak polis. DS Zahid Hamidi pula dengan tegas dan berani telah mengeluarkan segulung sebab mengapa Raja Noor Jan ini telah melakukan kesalahan dan patut ditahan.

Persoalan saya mudah sahaja, bagaimana pula dengan lebih daripada 1,000 laporan polis terhadap Himpunan Gulingkan Kerajaan pada 31 Disember yang lalu?


Adakah masih timbul keraguan untuk pihak polis menahan individu yang terbabit. Ataupun masih tidak cukup laporan polis yang dibuat ke atas perkumpulan yang melakukan himpunan tersebut. Chegu Bard, Azan Safar masih bebas berkeliaran di jalan raya masih menghasut rakyat untuk merusuh. Begitu juga dalang yang paling celupar, Hishamuddin Rais yang masih berada di Bangsar Utama bersama sebotol wain merah dan anjing peliharaannya sambil menanam ideologi sosialis dan atheism terhadap anak muda daripada universiti di sekitar Lembah Klang.

Tidakkah itu lebih merbahaya kepada khalayak umum wahai Menteri Dalam Negeri, DS Zahid Hamidi?

Bukannya seorang gila (ataupun tidak) yang berkeliaran mendakwa dirinya Sultan Melaka yang menjadi bahan tertawa di seluruh negara!

Dalam usaha untuk berfikir merasionalkan tindakan tersebut, muncul pula satu lagi persoalan yang merosakkan hati untuk mencapai ketenangan.


Hari ini sahaja, UMNO telah bersetuju untuk memaafkan dua individu yang telah menyebarkan fitnah sehingga memburukkan kerajaan dan juga parti. Tian Chua yang mendakwa kejadian Lahad Datu adalah sandiwara UMNO dan juga Mustafa Ali yang menyatakan UMNO adalah dalang di sebalik video seksnya yang tersebar luas.

Adakah UMNO yang wajar memaafkan Tian Chua?

Bagaimana pula dengan balu-balu kehilangan suami, anak-anak kehilangan bapa, ibu dan ayah yang kehilangan anak semasa peristiwa Lahad Datu tersebut?

Bukankah mereka yang sepatutnya Tian Chua pergi berjumpa untuk menuntut kemaafan.

Sekiranya dahulu, UMNO memainkan sentimen kematian parajurit negara mempertahankan negara, tetapi kini dengan hanya meminta maaf, UMNO melepaskan Tian Chua untuk melakukan lebih banyak dosa fitnah.

Adakah Tian Chua akan benar-benar sesal akan kenyataan dan tindakannya itu?

Sudah tentu tidak! Dia akan membuat fitnah lagi dan dia akan memohon maaf lagi! Kerosakan telah dilakukan oleh Tian Chua samada dia memohon maaf ataupun tidak.


Mustafa Ali pula bermain kata-kata. "Oh, yang saya maksudkan blogger UMNO, bukannya UMNO!"

Dengan kenyataan yang sebegitu bodoh, UMNO memaafkannya juga. Persoalannya, siapa blogger UMNO yang Mustafa Ali maksudkan tersebut. Blogger yang sah mewakili parti secara terang-terangan hanyalah UMB sahaja di bawah Pemuda UMNO Malaysia. Ataupun, boleh dimaksudkan juga UMNO Online, laman web berita yang mewakili UMNO. Maka di antara dua ini, mana satu maksud Mustafa Ali?

Sekali lagi Mustafa Ali yang sedap bermain, UMNO jualah yang tercalar integriti dan namanya!

Peristiwa yang berlaku dalam tempoh 3 hari ini sahaja cukup membuktikan bahawa bekas pejuang media online pro-kerajaan perlu kembali ke arena perjuangan secara kolektif. Kepimpinan baru di bawah Ibdillah Ishak boleh dikatakan tidak wujud sama sekali!

Cuma beliau ada keluarkan satu artikel di Utusan Malaysia yang (ini adalah sindiran) 'di baca oleh SEMUA anak muda di negara kita ini'.

Yang lain, kangkung sahajalah yang tinggal.

No comments:

Post a Comment