May 25, 2014

#PRKTelukIntan : Bersediakah Melayu Meminda Perkara 153? @DyanaSMD



Antara perbincangan yang menarik sepanjang seminggu tempoh berkempen PRK Teluk Intan adalah berkenaan dengan isu UiTM yang dibawa oleh calon DAP, Dyana Sofya. Sering kali disebut dan diperkatakan di mana-mana sahaja beliau menjelajah berceramah di Teluk Intan.

Lontaran isu UiTM ini disambut dengan pelbagai reaksi. Sudah tentulah kaum bukan Melayu terutamanya kaum Cina akan menyokong pegangan wanita Melayu berpakaian DAP ini. Namun, yang menarik perhatian saya adalah tentang reaksi kaum Melayu yang menunjukkan satu garis perpecahan yang amat jelas.


Persoalan saya kepada kalangan Melayu ini adakah mereka sedar bahawa wujudnya UiTM dan diklasifikasikan hanya kepada kaum Melayu dan Bumiputera ini adalah manifestasi kepada Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan yang tajuknya dibacakan;

"Perizaban Kuota Berkenaan Dengan Perkhidmatan, Permit dsb. Bagi Orang Melayu dan Anak Negeri Bagi Mana-Mana Negeri Sabah dan Sarawak."

Atau dalam bahasa mudah faham kebanyakan masyarakat adalah mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

Apabila disingkapkan tentang kedudukan UiTM yang memberi manfaatnya kepada Melayu dan Bumiputera sahaja, calon DAP yang bernama Dyana Sofya Binti Mohd Daud ini telah memberi ruang secara tidak langsung untuk mencabar Perkara 153 ini.

Adakah Melayu yang menyokong pegangan Dyana ini terhadap isu UiTM sedar terhadap apa yang mereka sokong? Saya percaya saudari Dyana sendiripun tidak sedar akan perkara ini kerana dimomokkan oleh idealogi kesamarataan 'Malaysian Malaysia' oleh Chauvinis DAP bernama Lim Kit Siang.

Terdapat banyak perkara lagi di dalam Perkara 153 yang bukan sahaja menghadkan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera kepada pendidikan sahaja. Malah perkara yang melibatkan kuota perkhidmatan, kuota permit, dan sebagainya disebut sekali di dalam Perkara ini.

Orang Melayu hanya sedar dan tahu tentang hal UiTM sahaja, walhal serangan sebenarnya adalah terhadap Perkara 153. Orang Melayu hanya bersyukur ketika mana diskaun Bumiputera 7% diberikan ketika hendak membeli rumah. Kemasukan ke universiti, pengambilan bekerja di sektor awam dan hal-hal lain dipandang remeh dan tidak bersyukur ke atas kedudukan istimewa tersebut yang diperjuangkan oleh orang terdahulu.

Rasionalnya mengapa Perkara 153 ini diperlukan adalah kerana ketika Tanah Melayu ini hendak merdeka. Bagi memenuhi syarat British yang mahukan penyatuan antara tiga kaum utama ketika itu maka satu kaedah diperlukan untuk memastikan bahawa ia akan memenangkan semua pihak.

Cuba bayangkan ketika itu anda adalah seorang Melayu Tanah Melayu yang hendak memberikan kerakyatan kepada bukan Melayu malah memberikan hak kepada bukan Melayu untuk bersuara melalui pembuangan undi, apakah yang anda rasakan?

Cuba bayangkan bagaimana Dato' Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman dimaki dan dihina oleh orang Melayu sendiri sehingga digelar sebagai 'barua Cina' semata-mata mahukan Tanah Melayu ini merdeka daripada cengkaman penjajah British?

Dengan ketika itu kaum Cina yang menerima pendidikan formal lebih daripada 100 tahun awal daripada kaum Melayu, suatu kaedah pengimbangan diperlukan agar tidak berlaku penindasan terhadap kaum asal tanah ini diperlukan. Maka kaedah pengimbangan Perkara 153 diperkenalkan. Orang Cina setuju, orang India setuju dan akhirnya orang Melayu setuju.

Dalam keadaan moden sebegini, kita bayangkan dan andaikan pula tentang kaum pendatang yang berada di Malaysia ketika ini, rakyat Indonesia dan Bangladesh. Pada mulanya mereka datang bekerja mencari rezeki di negara ini, kemudian akibat kasihan dan mengenangkan sudah lama mereka tinggal di sini maka diberikan pula kerakyatan Malaysia. Lama-kelamaan mereka akan minta pula peluang untuk mendapatkan hak mereka melalui peti undi. Diberikan juga hak itu kepada mereka dan kemudian wakil mereka ke Parlimen memperjuangkan pula hak mereka untuk sama seperti rakyat asal negara ini. Tidak cukup dengan itu mereka minta pula hak mereka mengatasi hak rakyat yang lain.

Apa perasaan anda?

Begitu juga hakikatnya terhadap kaum Cina dan India yang berada di negara ini. Malah, hak kaum bukan Melayu untuk mendapatkan pendidikan tidak pernah dinafikan. Hak kaum bukan Melayu untuk mengamalkan agama mereka tidak pernah dihalang. Tedapat 23 universiti awam yang lain di negara ini menawarkan pendidikan kepada golongan bukan Melayu. Adakah dengan satu-satunya universiti khusus untuk orang Melayu dan Bumiputera tidak dapat mengimbangi jumlah bukan Melayu ke universiti?

Malahan, pada hakikat yang sebenar-benarnya, kaum Cina terutamanya menganggap menghantar anak mereka ke universiti tempatan sesuatu perkara yang lekeh dan mereka sedaya-upaya menghantar ke universiti swasta. Kuota bukan Melayu sering tidak dapat dipenuhi malahan kaum Melayu pula terpaksa bersaing kerana majoriti daripada mereka pasti mahu menghantar anaknya ke universiti awam.

Begitu juga dengan hakikat perkhidmatan awam. Melayu terpaksa bersaing untuk mendapatkan jawatan tetapi kaum bukan Melayu senang-senang sahaja dapat kerana kuota mereka tidak pernah penuh. Jika dilihat pula di bidang swasta terutamanya yang melibatkan syarikat milik Cina, orang Melayu cuma ada seorang sahaja dan hanya bekerja sebagai jurusambut tetamu sahaja semata-mata untuk memenuhi syarat penubuhan syarikat yang mana mestilah terdapat kaum Melayu yang bekerja di dalamnya.

Kemudahan-kemudahan ini jarang kali diperdengarkan oleh pembangkang terutamanya DAP kerana kebencian mereka terhadap Perkara 153 ini terlalu meluap-luap. Bukan kerana mereka tidak dapat keadilan, bukan mereka tidak boleh menjadi kaya, bukan kerana mereka dinafikan hak mereka dan sebagainya.

Tetapi bagi Cina-cina DAP ini, Perkara 153 adalah simbol kepada negara Malaysia ini bukan hak mereka tetapi hak kepada Melayu dan Bumiputera.

Seperti mana mereka menentang Hudud yang bukan mereka risau atas hukuman yang diberikan kepada pesalah kerana mereka tahu meraka tidak akan membuat kesalahan tersebut. Tetapi mereka menentang Hudud ini adalah kerana Hudud itu menjadi simbol kepada negara Malaysia ini adalah negara Islam.

Juga diingatkan bahawa UiTM juga terletak pada jurisdiksi MARA, Majlis Amanah Rakyat yang dasar penubuhannya juga adalah untuk membantu Melayu dan Bumiputera. Ditubuhkan di Parlimen pada 1 Mac tahun 1966 yang sebelumnya dalah RIDA yang bermula sejak 1951.

Sekiranya hendak dipinda jugalah supaya UiTM ini perlu dibuka kepada bukan Bumiputera maka Perkara 153 perlu dipinda.

Hendak meminda Perkara 153 ini memerlukan 2/3 undian Dewan Rakyat DAN persetujuan Majlis Raja-raja. 

Adakah dengan kemenangan Dyana Sofya di Teluk Intan perkara ini dapat dicapai?

Sekiranya tidak mengapa beliau menggunakan polisi keterbukaan UiTM kepada bukan Melayu ini sebagai bahan kempen di Teluk Intan?

Jawapannya mudah sahaja; untuk memenangi hati dan perasaan kaum Cina di Teluk Intan kerana beliau seorang Melayu bertanding di kerusi Cina.

P/S: Perkara 160 menyebut tentang takrifan dan antara takrifan 'orang Melayu' itu adalah mesti beragama Islam. Maka sekiranya difikirkan bukankah Hak Istimewa Orang Melayu itu juga secara tersiratnya Hak Istimewa Orang Islam juga?

No comments:

Post a Comment