Dec 11, 2013

#AwasBanjir : Di manakah Jalan Penyelesaian Banjir?


BANJIR merupakan bencana alam yang umumnya berlaku pada hujung tahun setiap tahun. Cuma pada kebiasaannya negeri yang terlibat hanya Kelantan dan Terengganu akibat pergerakan angin monsun timur laut pada bulan November dan Disember.

Namun negeri seperti Pahang dan Johor turut menghadapi ancaman angin tersebut yang datang membawa hujan yang lebat sehingga longkang dan parit tidak mampu menampung kehadiran pengaliran air yang menyebabkan daratan menjadi seumpama lautan.

Namun dalam keributan akibat banjir di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, timbul bermacam cerita yang tidak sedap didengar yang melibatkan mangsa-mangsa banjir.


Ada mangsa yang merasakan bantuan lambat diberikan kepada mereka dalam aspek kebajikan di tempat penempatan sementara seperti sekolah dan dewan orang ramai.

Aduan yang sering didengar adalah yang melibatkan kebersihan diri dan susu bayi dan lampin pakai buang yang tidak dibekalkan secukupnya.

Bila bercakap isu sensitif begini yang agak tidak popular untuk dibincangkan di media massa, kita seharusnya sedar bahawa dengan teknologi moden hari ini isu kecil sebegini mampu menjadi besar di laman sosial.

Pihak yang paling suka isu ini ialah blogger daripada parti pembangkang yang cukup handal mensensasikan perkara yang boleh diselesaikan dengan semua pihak dari peringkat atasan ke bawah bekerjasama dan lebih empati dengan nasib masyarakat yang terlibat dengan bencana alam.

Dalam keadaan darurat, kita tidak mampu hendak membuat bajet atas keperluan yang mendesak.

Dalam cuaca sejuk sudah pasti 'toto' yang menjadi selimut dan lampin yang dibekalkan menjadi keperluan yang banyak permintaan kerana dalam kesejukan sudah pasti barang-barang keperluan asas tersebut amat ditagih untuk digunakan.

Adakala kita amat pantas dalam menghulur bantuan ke negara-negara asing dengan pelbagai bantuan. Mengapa kita tidak berbuat demikian membantu nasib warga senegara yang lebih memerlukan atas nama satu bangsa dan satu ummah.

Bayangkan mangsa-mangsa banjir bukan sahaja hilang harta benda malah ada yang kehilangan suami, anak dan keluarga terdekat hanya kerana kita lebih prihatin untuk menghulurkan bantuan kepada orang luar yang selama ini tidak pernah pun kenal dengan kita.

Benarlah kata pepatah, kuman di seberang laut tanpa stetoskop mahupun teleskop boleh dilihat, gajah yang lalu lalang di depan mata buat-buat tak nampak. Atau lebih tepat kera di hutan jadi anak susuan, anak di pangkuan mati kebuluran.

Sudah sampai masanya suatu pelan tindakan banjir jangka pendek dan jangka panjang diambil oleh pihak berkuasa dalam menangani isu yang sering menjelma tiap kali tiba hujung dan awal tahun.

Pelan tindakan menghadapi banjir bagi jangka pendek, kita seharusnya menyimpan stok bantuan di setiap negeri yang biasa berlaku banjir dan dikawal selia di dalam kem tentera.

Stok seperti beras, makanan dalam tin, lampin pakai buang, susu, pakaian, tilam dan lain-lain sepatutnya sudah disimpan sejak bulan Oktober bagi proses siap siaga menghadapi bencana buruk seperti banjir dan angin rebut.

Apabila bencana tiba maka ia dapat disalurkan terus kepada mangsa-mangsa dengan seliaan satu badan yang diwakili oleh pihak Kementerian Pertahanan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Masalahnya, hari ini kita ibarat pepatah hendak buang air besar baru hendak membina tandas. Ada kala kita berasa masalah orang lain bukan masalah kita tetapi apabila satu hari nanti terkena batang hidung sendiri baru kita sedar bahawa hidup umpama roda.

Kita tidak tahu bila giliran kita ditimpa musibah oleh itu kita seharusnya bersiap siaga di masa bencana belum berlaku.

Pelan jangka panjang, kita seharusnya mencari jalan untuk memastikan sistem pengairan kita dapat berjalan dengan baik.
Sebagai contoh kita mempunyai pakar kejuruteraan air yang merupakan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar yang boleh digunakan kepakaran beliau untuk mengatasi masalah banjir yang semakin lama semakin teruk di negara ini.

Seharusnya bijak pandai dihimpunkan dalam satu badan bertindak untuk mengatasi masalah yang menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit kepada negara.

Biarlah kita berbincang hingga banjir air liur bagi mencari jalan mengatasi banjir yang semakin membesar. Sebelum kita banjir air mata dan peluh kerana kehilangan yang tersayang dan harta benda.

1 comment: