Nov 24, 2013

#UMisOne : Pro-Mahasiswa Di Dalam Kancah Perpecahan

Seperti yang dijangka, Pro-M kini sedang berhadapan krisis dalaman yang serius yang dikesan berakar punca daripada masalah kepimpinannya di Universiti Malaya. Hal ini didedahkan sendiri oleh sumber yang dekat dengan bekas pimpinan utama Pro-M Nasional sidang lepas yang ternyata kecewa dengan gaya dan pendekatan kepimpinan sekarang.

Menurut bekas pemimpin Pro-M itu, kepimpinan sekarang dilihat gagal menampilkan kelainan serta tandus idea kreatif untuk menarik sokongan mahasiswa. Mereka lebih selesa mengulangi pendekatan kepimpinan lama berbekalkan sokongan aktivis sedia ada. Meskipun ada pertambahan sokongan daripada ahli baharu namun, jumlah yang berjaya dikumpul ternyata amat kecil. Hal ini secara tidak langsung meresahkan para penyumbang dana Pro-M yang ghairah mahukan Pro-M menawan kampus Universiti Malaya dalam PRK yang akan diadakan pada 28hb November ini.


Lebih menarik, Safwan Anang, salah seorang pemimpin utama Pro-M Nasional yang juga bekas Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dilaporkan tertekan dengan beberapa keputusan yang diambilnya sebelum ini tetapi kini membawa masalah kepada kem mereka. Safwan Anang menjadi pemain utama yang menaikkan Bukhairy Suffian sebagai calon mewakili Gerakan Mahasiswa Untuk PRU-13 (GM13) menentang Perdana Menteri Dato' Seri Najib Razak di Parlimen Pekan sebelum mengarahkan beliau menarik diri bagi menghormati lawan Najib dari Pakatan Rakyat.

Safwan Anang, Bukhairy Suffian, Edikoup Lakip, Muqit dan Khalid Ismath

Tindakan tersebut telah menyebabkan para penyokong GM13 dan Bukhairy sendiri kecewa dan menanggung malu selepas ghairah menguar-uarkan hasrat mereka menentang Najib. Bagi mengurangkan tekanan yang diterima, Safwan Anang akhirnya memutuskan untuk mengundurkan diri daripada SMM dan menyerahkan tampuk kepimpinan utama sebagai Pengerusi kepada Bukhairy Suffian walaupun pada awalnya calon yang menjadi pilihan majlis kepimpinan ialah Saudara Muqit yang kini berperanan sebagai Pengerusi Pro-M Universiti Malaya.

Percaturan Safwan Anang ini didakwa sebagai percaturan politik semata-mata bagi menyelamatkan diri. Kepimpinan baharu SMM kini dilabelkan sebagai lembik dan terlalu mengharapkan campur tangan ahli-ahli politik Pakatan Rakyat sebagai jurucakap mereka. Hal ini dibangkitkan sendiri oleh bekas Pengerusi Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) iaitu Khalid Ismath. KAMI suatu ketika dahulu merupakan salah sebuah pertubuhan haram yang bernaung di SMM dan Pro-M Nasional.

Dalam beberapa isu muktahir membabitkan kepentingan politik kumpulan Pro-M, kepimpinan SMM kerap bergantung kepada suara Ahli-ahli Yang Berhormat Pakatan Rakyat hingga menunjukkan kelemahan pertubuhan haram tersebut sebagai agen suara mahasiswa. Tambah pahit, tindak-tanduk kepimpinan SMM sekarang telah menjungkirbalikkan segala omongan yang dilaungkan selama ini kononnya pertubuhan tersebut bebas dan berkecuali yang mewakili mahasiswa di Malaysia.

Sumber : braderjai.blogspot.com

No comments:

Post a Comment