Nov 27, 2013

#PemilihanUMNO : Bantu Najib Pimpin UMNO

Pemilihan pucuk pimpinan UMNO untuk peringkat cawangan, bahagian dan Pusat sudah selesai. Tidak dinafikan ada yang kecewa dan merajuk, malah mungkin sudah tidak bersemangat untuk hadir ke Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra bermula 3-7 Disember depan.

Golongan ini pun ada pengikutnya, jadi perlu hayati nasihat Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa yang kalah, tidak kalah dalam perjuangan. "Perjuangan masih boleh diteruskan. Inilah semangat ahli UMNO yang sejati. Inilah yang dikatakan pertandingan persahabatan dalam keluarga."

Walaupun Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menang tanpa bertanding dalam pemilihan UMNO Oktober lalu namun cabaran tetap menunggu.

Pengekalan jawatan itu adalah kerana ahli UMNO yakin dengan kepimpinan mereka menerajui parti untuk mempertahankan agama Islam, kedaulatan negara, serta kedudukan Raja-raja, orang Melayu dan bumiputera.

Inilah gandingan terbaik untuk terus membawa UMNO menjadi parti yang lebih kuat biarpun dalam landskap politik baharu yang sangat mencabar.

Pemilihan semula mereka juga adalah isyarat semua peringkat UMNO mengiktiraf kepimpinan Najib yang dibantu oleh Muhyiddin.


Gandingan mereka berdua berjaya memulihkan semula kekuatan UMNO yang sebelum ini merudum akibat ketirisan sokongan orang Melayu.

Melalui gandingan kedua-dua pemimpin tersebut, orang Melayu mula kembali kepada UMNO dan hasilnya jumlah kerusi yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu meningkat daripada 79 kerusi (PRU-12) kepada 88 kerusi, selain berjaya menawan semula Kedah dan Perak.

Najib memegang jawatan itu sejak 2009 setelah menang tanpa bertanding manakala Muhyiddin juga memegang jawatan tersebut sejak 2009 setelah menewaskan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib.

Sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri tanggal 3 April 2009, kesungguhan Najib nampak nyata, ketenangan beliau terserlah, perencanaan beliau menggambarkan keprihatinan dalam meletakkan kepimpinan sebagai tanggungjawab dan amanah.

Menurut Koordinator Perancangan Strategik, Universiti Teknologi Mara Perlis, Dr. Shaiful Annuar Khalid, Najib dilihat sentiasa berusaha mencari jalan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.

Najib mempunyai ciri-ciri seperti kepimpinan melalui teladan, menghormati pihak-pihak lain, pendengar yang baik, mempunyai misi yang dikongsi dengan semua rakyat, tenang semasa krisis, keyakinan diri yang tinggi, berupaya menyelesai konflik dengan berkesan, bekerja keras untuk menjayakan rancangan ekonomi, mengambil berat dan membuka peluang kepada rakyat untuk memberikan pandangan.

Dr. Shaiful Annuar berpandangan Najib memiliki ciri-ciri sebagai pemimpin transformasi untuk mengerakkan ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi, yakni mampu membuat perubahan dan pembaharuan untuk faedah rakyat.

Perdana Menteri boleh diibaratkan sebagai kapten sebuah kapal yang sarat dengan penumpang dan anak kapal. Kemampuan untuk mengemudi sebuah kapal yang besar memerlukan kerjasama sepenuhnya anak-anak kapal dan penumpang. Tanpa kerjasama sepenuhnya akan terjejaslah perjalanan ke destinasi yang ingin dituju.

Justeru, menurut Dr. Shaiful Annuar, asas perubahan yang paling penting dalam memajukan sesuatu negara adalah perubahan sikap rakyat. Adalah lebih mudah untuk mengubah Gurun Sahara menjadi padang yang menghijau daripada mengubah sikap dan jiwa manusia.

Pemikir, Kassim Ahmad pula menulis Najib mengambil alih pimpinan UMNO dan negara pada waktu negara diselubungi banyak masalah.

Najib hanya ada satu kekuatan, iaitu warisan kepimpinan bapanya, Tun Abd. Razak, presiden UMNO yang kedua yang juga Perdana Menteri yang kedua. Dalam suasana yang tidak menyebelahi Najib, beliau mengetengahkan slogan: "UMNO mesti berubah, atau direbahkan". Satu lagi ungkapan hikmah beliau yang awal ialah "Tugas saya memerlukan saya berfikir siang dan malam".

Dua perkara yang menyegarkan ini membezakan beliau dari pemimpin-pemimpin lain serta memberi harapan baru kepada rakyat tentang kepimpinan beliau.

Naib Presiden Perhubungan Industri dan Pengarah Institut Kepimpinan dan Keusahawanan Management & Science University (MSU), Prof. Datuk Dr. Mohd. Zainul Fithri Othman pula melihat transformasi yang dilaksanakan Najib selaku Presiden UMNO, sebagai tindakan bijak.

Kesemua Presiden UMNO sebelum beliau iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi menentukan hala tuju parti mengikut acuan yang sesuai dengan era pentadbiran masing-masing.

Apabila Najib memegang tampuk kepimpinan UMNO, beliau melakukan transformasi dalam banyak perkara. Najib ingin meneruskan kesinambungan UMNO sebagai tonggak parti Melayu yang unggul di negara ini selain mahu melihat UMNO sebagai parti yang sanggup menghadapi cabaran baharu di peringkat global.

Najib harus memikirkan bagaimana sesuatu dasar itu dirangka dengan baik dan berkesan. Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) bertujuan menaikkan martabat Malaysia agar setanding dengan negara maju.

Dari segi transformasi politik, Perlembagaan UMNO dipinda selepas Najib menjadi Presiden. Dahulu, UMNO bergantung kepada 2,653 perwakilan dari 191 bahagian di seluruh negara untuk memilih pucuk pimpinan.

Najib telah melakukan perubahan kaedah agar proses pemilihan turut dirasai oleh perwakilan di peringkat bahagian. Sebelum ini, hanya perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO terlibat dalam proses pemilihan. Baru-baru ini bilangan perwakilan yang mengundi meningkat kepada 146,500 orang. Sistem ini membawa ahli UMNO ke dalam arus perdana pemilihan parti.

Menurut Mohd. Zainul Fithri, gejala politik wang yang digembar-gemburkan menyebabkan UMNO dalam keadaan lemah dan sakit. Apabila Najib menerajui UMNO, beliau melihat padah akan menimpa parti jika tiada tindakan diambil untuk membanteras politik wang.

Maka, Perlembagaan UMNO dipinda supaya tiada ahli atau pemimpin yang menggunakan wang bagi mempengaruhi keputusan pemilihan. Generasi muda mahu melihat tadbir urus yang baik dalam UMNO. Mereka mahu pemimpin UMNO yang bersih. Jika pemimpin UMNO beroleh jawatan menerusi politik wang, mereka tidak akan dihormati.

Semua ahli UMNO perlu memberi peluang kepada saf kepemimpinan parti yang baharu dipilih hampir dua bulan lalu untuk bersama-sama berganding bahu dengan Presiden UMNO serta Timbalannya, dalam satu pasukan yang mantap ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.

Bantulah Najib meletakkan UMNO sebagai sebuah parti bukan sahaja untuk ahli UMNO tetapi juga untuk rakyat. Mereka kena menjayakan agenda parti bukan sahaja mengukuhkan UMNO ke arah matlamat perjuangan parti tetapi agenda nasional bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

Sekarang bergantung kepada kemampuan pasukan kepimpinan baharu semua peringkat UMNO untuk melaksanakan agenda transformasi bagi negara.

Ahli UMNO sudah memilih Najib sebagai ketua dan saf yang akan membantunya maka mereka kena beri peluang kepada pasukan kepimpinan UMNO 2013-2016 ini untuk membuktikan kewibawaan di semua peringkat demi parti dan rakyat Malaysia.

No comments:

Post a Comment