Nov 25, 2013

#MuktamarPAS : Mana Perginya Janji Hudud PAS?


Pengakuan kerajaan PAS Kelantan bahawa ia belum bersedia melaksanakan hukum hudud sangat signifikan. Ini mengesahkan pandangan majoriti rakyat yang sangsi dengan kemampuan PAS dan niatnya yang sebenar walaupun parti itu berdegar-degar seolah-olah mahu melaksanakannya secepat mungkin. 


“Jika PAS diisytiharkan menang di bumi Serambi Makkah, maka esoknya, sebelum ayam berkokok, sebelum burung keluar dari sarangnya, sebelum fajar menyinsing, kita nobatkan ‘baldatun tayyibatun waraffun ghafur’ (negeri indah lagi diredhai Allah).” Begitulah semangatnya pemimpin PAS berkempen. Kenyataan ini dibuat pada 1959, yakni 54 tahun lalu. Sehingga hari ini – entah berapa juta ayam yang sudah berkokok dan burung yang terbang – janji PAS belum terhasil. 


Menurut Timbalan Menteri Besar, Datuk Nik Amar Nik Abdullah, kerajaan PAS Kelantan perlu lebih banyak masa kerana hudud tidak boleh dilaksana secara tergesa-gesa. Jawapan ini tidak masuk akal sebab PAS sudah memerintah Kelantan selama 23 tahun secara berterusan. Masa yang ada terbuang kerana PAS tidak mengambil tindakan konkrit, padahal ia yang beriya-iya mahu melaksanakan hudud. 





Terkial-kial beri jawapan 

Lebih dua dekad, hanya Oktober lalu ditubuhkan jawatankuasa teknikal yang dipengerusikannya. Itupun baru hendak bermesyuarat. Beliau mengakui semua prasarana cukup. Kerajaan negeri sedang menumpukan usaha melantik hakim dan menubuhkan mahkamah khas bagi tujuan ini. Rakyat berharap kerajaan negeri tidak mengambil masa 20 hingga 30 tahun lagi untuk melaksanakan hudud. 

Apabila ditegur Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Muhammad minggu lalu mengenai dolak-dalik melaksanakan hudud, pemimpin PAS negeri terkial-kial mencari jawapan munasabah. Timbul pertanyaan sama ada PAS benar-benar serius atau sekadar menjadikan hudud modal politik semata-mata. Menurut beberapa pakar undang-undang, perkara ini perlu dibentang ke Parlimen dan dibahaskan agar rang undang-undang baru dapat diwujudkan untuk memberi kuasa penuh kepada mahkamah syariah seperti kehendak hukum syarak. Persoalannya, pernahkah mana-mana Ahli Parlimen PAS berbuat demikian dalam tempoh 54 tahun ini? 
Muhammad Daud Iraqi, ketika menjadi EXCO Kelantan, pernah berjanji akan membawa usul ini ke Parlimen. Menurut laporan Harakah 28 Februari 1998, Ahli Parlimen PAS Kelantan akan membawanya selepas kertas mengenainya disiapkan oleh Penasihat Undang-Undang. Adakah kertas itu masih belum siap walaupun 15 tahun sudah berlalu? Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu juga memberitahu perkara sama kepada wartawan akhbar Sin Chew, Tay Tian Yan, dalam wawancara tahun lalu tapi membuat penafian esoknya dan menuduh akhbar itu pula yang memutarbelit kenyataannya. 

Dalam soal hudud, terbukti pemimpin PAS bercakap belit-belit, tidak konsisten dan bercanggah antara satu sama lain. Apabila tiba waktu pilihan raya, pemimpin PAS akan berceramah dan berkempen untuk laksana hudud ibarat itulah perkara terpenting dan paling diutamakan. Selepas pilihan raya, mereka ketepikan isu hudud, malah menafikan kepentingan hudud terutama dalam konteks pakatan pembangkang. Dalam bahasa orang Kelantan, pemimpin seperti ini ‘kecek serupo ketut’ yakni membuat janji atau perakuan tanpa niat untuk menunaikannya. 


Pemimpin PAS tolak hudud 

Mohamad Daud Iraqi pernah berkata: “Pelaksanaan hudud dan qisas bukan agenda utama PAS.” (27 Disember 2008) manakala AJK PAS Pusat, Mohamad Nizar Jamaluddin dilaporkan berkata: “Kita tak pernah janji pun mahu melaksanakan hudud” (3 Januari 2009). Bekas Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor beberapa kali menolak isu hudud dan negara Islam dalam pakatan pembangkang. Penggantinya, Datuk Seri Hadi Awang menganggap hudud cuma satu aspek 0.0001 peratus daripada hukum Islam (7 Mac 2000). Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dengan bangga berkata: “Bukan sahaja dalam manifesto, dalam Perlembagaan PAS sendiri memang tidak mengandungi satu perkataan pun untuk menubuhkan sebuah negara Islam. DAP boleh tengok sendiri dan baca perlembagaan itu.” (4 Ogos 2001). 

Nik Aziz tentu masih ingat kritikan Sultan Kelantan terhadap beliau dan kerajaan pimpinannya yang gagal melaksanakan hudud walaupun baginda sudah bersetuju dan memperkenankan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan. Peristiwa ini berlaku pada 19 Mei 1996 dan Nik Aziz berjanji akan mempercepat pelaksanaannya. Namun, sehingga beliau bersara pertengahan tahun ini, hudud di Kelantan masih pada peringkat perbincangan. Ketua Hakim Syarie Kelantan berkata, PAS berdosa jika tidak laksana hudud seperti dijanjikan. Nik Aziz bagaikan ketuk kepala sendiri apabila berkata: “Pemerintah yang tidak melaksanakan hukum hudud selepas diberikan kuasa adalah berat dosanya yakni kedua selepas kafir.” (Harakah, 20 November 1998). 

Pengakuan Nik Amar bahawa jawatankuasa teknikal ini akan merujuk pandangan pakar cukup memalukan. Rupa-rupanya tidak ada pakar hudud dalam PAS. Oleh kerana Nik Amar tidak menamakan pakar berkenaan, rakyat mengagak PAS kena rujuk kepada peguam di luar parti itu, termasuk PKR dan mungkin juga DAP. Kesimpulannya pasti sudah diketahui.

No comments:

Post a Comment