Aug 23, 2012

F.A.Q tentang Tweet Merdeka. @TwtUpMerdeka #Merdeka55 @NajibRazak

Tweet Merdeka

Apa Itu Tweet Merdeka?

Tweet Merdeka adalah satu program anjuran JASA di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sempena dengan Sambutan Hari Merdeka Ke-55 yang bakal dianjurkan pada 31 Ogos 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Apakah Matlamat Tweet Merdeka?

Tweet Merdeka bertujuan untuk memecahkan rekod dunia dan menempa rekod baru di dalam Malaysia Book of Records berdasarkan kepada 2 kategori yang berikut:

A. Perhimpunan Pengguna Twitter Terbesar di Dunia

B. Jumlah Tweet Terbanyak dalam Tempoh 1 Jam Dengan Menggunakan Hashtag

Apakah Sasaran Tweet Merdeka Untuk Memecahkan Rekod Tersebut?

Untuk melayakkan Tweet Merdeka untuk menempa rekod baru di Malaysia Book of Records, Tweet Merdeka perlu mendapatkan sekurang-kurangnya:

A. 10,000 pengguna Twitter

B. 20,000 tweets dalam masa 1 jam menggunakan hashtag #Merdeka55

Siapa Boleh Sertai?

Sesiapa sahaja yang mempunyai akaun Twitter. Sekiranya anda belum lagi mempunyai akaun Twitter, masih sempat lagi untuk anda mendaftar di Twitter.com

Bagaimana Untuk Sertai?

Untuk kategori A:

1. Daftarkan diri anda di www.twtupmerdeka.blogspot.com

2. Hadir pada hari kejadian dan sahkan pendaftaran anda di kaunter pendaftaran. (Seperti rajah A)

RAJAH A

3. Pastikan anda menerima tag peserta beserta nombor siri, t-shirt Tweet Merdeka (selagi stok masih ada), topi Tweet Merdeka (selagi stok masih ada) dan lain-lain yang ada di dalam beg goodies.

4. Masuk ke dalam Stadium dan duduk di kawasan yang telah ditetapkan untuk program Tweet Merdeka. (Seperti rajah A)

5. Pengiraan peserta akan dibuat berdasarkan pengesahan yang dibuat di kaunter pendaftaran sehingga jam 8.00 malam.

6. Peserta akan turut serta menulis tweet untuk kategori B.

Nota tambahan: Peserta dinasihatkan hadir sebelum jam 6.00 ptg bagi mengelakkan kesesakan di pendaftaran.

Untuk kategori B:

1. Pada hari kejadian, tepat jam 8.15 malam, kesemua pengguna Twitter tidak kira di stadium ataupun di mana sahaja akan memulakan Tweet Merdeka dengan menulis tweet.

2. Perkara yang perlu ada di dalam tweet anda untuk melayakkan kiraan untuk kategori B adalah #Merdeka55 dan @NajibRazak. cth:

"Bersama kita jayakan #Merdeka55 bersama @NajibRazak"

3. Tweet Merdeka akan berlangsung selama 1 jam sehingga jam 9.15 malam.

4. Pengumuman akan dibuat setelah 1 jam.

Apakah Tarikan Lain Yang Ada Semasa Program Tweet Merdeka?

1. Selebriti tempatan seperti Fizo Omar, Lisa Surihani, Elfira Loy, Mia Sara Nasuha, Remy Ishak, Iqram Dinzly, Kamal Adli, Intan Ladyana, Adi Putra, Scha Al Yahya, Awal Ashaari, Kenchana Devi, Yana Samsudin, Amber Chia, Shaheizy Sam, Johan Asari dan ramai lagi akan turut serta bersama peserta di Stadium dan juga menulis tweet pada hari kejadian.

2. ****Cabutan bertuah yang sangat lumayan seperti Iphone 4s, New Ipad, Macbook, Blackberry Curve, dan banyak lagi termasuk sebuah kereta Proton Preve. Belum dapat dipastikan lagi!!!****

3. Sijil Pencapaian sebagai Penempa Rekod Dunia bagi kategori A.

4. Pada masa yang sama, terdapat juga sambutan hari raya peringkat kebangsaan yang diadakan di perkarangan stadium itu sendiri!

5. PM DS Najib Razak akan memilih 3 tweet bertuah pada hari tersebut untuk diberikan hadiah istimewa. (Mungkin makan malam bersama PM) 

Bagaimana Untuk Mendapatkan Maklumat Terkini?

Pastikan anda follow @TwtUpMerdeka di Twitter dan Like FanPage 55 Merdeka, Janji Ditepati di Facebook.

Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan, bolehlah e-mail kepada twtupmerdeka@gmail.com ataupun terus bertanyakan di twitter ataupun Facebook seperti link di atas.

Aug 19, 2012

Panduan Solat Sunat Aidilfitri

Ulama berbeza pendapat tentang hukum solat Aidilfitri dan Aidiladha. Bagi kebanyakan umat Islam di Malaysia mereka berpegang kepada pendapat bahawa hukum solat tersebut adalah sunat mu’akkadah (sunat yang dituntut).

Di bawah ini adalah cara dan panduan bagi orang Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri.

NIAT:

أُصَلِّي سُنَّةَ لِعِيْدِ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى

Maksud: Sahaja aku sembahyang sunat hari raya aidilfitri 2 rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala.

Rakaat Pertama

1) Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha

2) Takbiratul Ihram

3) Doa Iftitah

4) Takbir Tujuh kali dan diselangi membaca zikir seperti

سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ

“Subhanallah, walhamdulillah,wa la ilaha illallah, wallahu akbar”

5) Membaca surah al-Fatihah

6) Membaca Surah al-Qur’an

7) Rukuk

8) Iktidal

9) Sujud

10) Duduk antara dua sujud

11) Sujud kali kedua

12) Bangun untuk rakaat kedua

Rakaat Kedua

1) Takbir Lima kali dan diselangi membaca zikir seperti

سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ

“Subhanallah, walhamdulillah,wa la ilaha illallah, wallahu akbar”

2) Membaca surah al-Fatihah

3) Membaca Surah al-Qur’an

4) Rukuk

5) Iktidal

6) Sujud

7) Duduk antara dua sujud

8) Sujud kali kedua

9) Duduk untuk tahiyyat akhir

10) Memberi salam ke kanan dan ke kiri

Terdapat hadis mengatakan para jemaah juga tidak diwajibkan untuk menghadiri khutbah Hari Raya ini. Oleh itu setelah selesai mengerjakan solat Hari Raya bagi seseorang yang tidak ingin turut serta untuk mendengar khutbah maka dia dibenarkan untuk meninggalkan majlis tersebut.

Bagaimanapun, adalah lebih baik untuk jemaah terus berada di masjid mendengar khutbah bersama-sama umat Islam yang lain.

Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Dalam gembira menyambut Syawal, hati kecil ini sedih dengan Pemergian Ramadhan, sungguh singkat pertemuan kita dan moga kita dipertemukan sekali lagi.

Salah ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca TruthVaccine. Maaf zahir dan batin dipinta atas segala apa jua perbuatan, tingkah rupa, kata-kata mahupun hasil nukilan, baik dengan niat yang elok ataupun sebaliknya.

Semoga kebenaran dapat diberikan pengadilan yang sewajarnya dan kebatilan akan kalah jua akhirnya.

InsyaAllah.

Illahi anta maqsudi wa ridhaka matlubi.

Aug 17, 2012

Nik Aziz TAKUT dengan Ust Nasharudin!

Sikap Nik Aziz yang mahu main selamat.

1. Kenyataan Nik Aziz yang dikeluarkan oleh HarakahDaily pada 16 Ogos 2012 menunjukkan sifat berdolak-dalik Nik Aziz.

2. Beliau refleks kepada portal berita yang ditulis oleh BERNAMA bertarikh 15 Ogos 2012.

3. Sebaik sahaja Ust Nasha membuat pengumuman tidak akan keluar dari PAS, (Baca di sini) secara tiba-tiba sahaja Nik Aziz menukar kenyataan beliau.

4. Kelihatan Nik Aziz benar-benar mahu bermain dengan berhati-hati dengan isu ini.

5. Tetapi adakah beliau lupa bahawa pada 17 Jun 2009 beliau dengan lebih kasar menyelar Ust. Nasha mengenai kerajaan perpaduan yang diunjurkan oleh Ust Nasha. Malah, Nik Aziz menggelarkan Ust. Nasha sebagai sampah dengan merujuk ayat beliau "Apa buat sampah,  menyusahkan".


Adakah Nik Aziz lupa tentang kenyataan beliau 3 tahun yang lalu?

6. Ketika ini Nik Aziz tidak pula membuat kenyataan balas ataupun menarik semula kenyataan mengenai isu ini dengan harapan orang ramai sudah lupa dan tidak mengungkit semula.

7. Tindakan Ust Nasha membuat pengumuman untuk terus berada di dalam PAS adalah sangat tepat kerana berjaya mengucar-kacirkan pucuk kepimpinan PAS.

8. Mungkin ayat Al-Quran ini dapat membantu kita memahami tindakan Nik Aziz ini.



(Mereka yang munafik itu ialah) orang-orang yang sentiasa menunggu-nunggu (berlakunya sesuatu) kepada kamu; maka kalau kamu mendapat kemenangan dari Allah (dalam sesuatu peperangan), berkatalah mereka (kepada kamu): "Bukankah kami turut berjuang bersama-sama kamu? (Oleh itu kami juga berhak menerima bahagian dari harta rampasan perang)". Dan jika orang-orang kafir pula mendapat bahagian (yang menguntungkan dalam peperangan), berkatalah mereka (kepada orang-orang kafir itu): "Bukankah kami turut membantu kamu dan mempertahankan kamu dari (serang balas) orang-orang yang beriman (dengan mendedahkan rahsia perpaduannya)?" Maka Allah akan menghakimi di antara kamu semua pada hari kiamat; dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman. Surah An-Nisaa' Ayat 141.



Aug 16, 2012

Fahami Isu Fake Account @NajibRazak

Latar Belakang Isu

1. Sambutan Kemerdekaan 55 Tahun akan menyaksikan dua rekod baru yang bakal ditempa oleh rakyat Malaysia melalui program Tweet Merdeka. (Klik di sini)

2. Rekod himpunan Twitter terbesar di dunia dan Rekod Tweet Terbanyak Menggunakan Hashtag Dalam Masa Sejam.

3. Kedua-dua rekod ini ingin ditempa kerana kejayaan Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan DS Najib Razak di dalam media sosial terutamanya di Twitter.


4. Dengan semakin hampirnya program ini dilaksanakan, tiba-tiba sahaja berlaku serangan terhadap DS Najib Razak dan beberapa kepimpinan tertinggi kerajaan yang kononnya mereka ini mempunyai 'fake account' yang terlalu banyak di media sosial Twitter.

5. Kewujudan ini dapat dikesan melalui laman web StatusPeople (Klik di sini).


6. Melalui informasi seperti ini, pihak pro-pembangkang cuba menggunakan laman web ini untuk discredit kejayaan dan pencapaian pihak Kerajaan Barisan Nasional di arena media sosial.

7. Pemimpin-pemimpin BN yang mempunyai followers yang ramai ini dikatakan telah mengupah atau membayar sindiket untuk meramaikan jumlah followers mereka.

Memahami Fake Account

Sebelum kita boleh menilai dan menjatuhkan tukul hukuman kepada pihak Kerajaan BN seperti yang kita semua suka lakukan, kita perlu meneliti dan faham tentang:
  • Apakah yang dimaksudkan dengan fake account
  • Bagaimanakah sesuatu akaun itu diterima pakai sebagai fake
  • Bagaimanakah caranya laman web ini mengira fake account
Mengikut yang digariskan oleh laman web StatusPeople.

Apakah yang dimaksudkan dengan Fake Account

Fake Account ialah akaun yang dibuat bertujuan untuk 'follow' akaun-akaun orang lain secara pukal  dengan bertujuan untuk meramaikan 'follower' akaun tersebut atau untuk 'spam' iklan-iklan, link, dan apa juga maklumat secara meluas.

Bagaimanakah sesuatu akaun itu diterima pakai sebagai fake

Secara asasnya, fake accounts ataupun spam accounts mempunyai tiada atau sedikit followers dan tweets. Pada masa yang sama, akaun-akaun ini 'follow' banyak akaun-akaun orang lain.

Bagaimanakah caranya laman web ini mengira fake account

StatusPeople mengambil sampel sehingga 500 followers sesebuah akaun itu dan menganalisa mereka berdasarkan kriteria spam yang mudah.

Analisa

1.Dengan dapatan sampel sebanyak hanya 500 akaun, terdapat satu limitasi sekiranya akaun tersebut mempunyai followers yang lebih ramai daripada 10,000 akaun.

2. Sekiranya anda mempunyai followers seramai 10,000 akaun, magnitud gandaan yang digunakan pun adalah 20x.

3. Bermaksud anda mengandaikan bahawa archtype 10,000 tersebut adalah sama seperti archtype 500 akaun.

4. Ini masih di dalam jurang yang boleh diterima pakai.

5. Sekiranya kita mengambil akaun @NajibRazak yang mempunyai 823,720 followers, magnitud gandaannya adalah sebanyak 1647.4x

6. Setentunya ini akan memberikan satu keputusan yang amat tidak tepat dan lari daripada maksud asal analisa tersebut.

7. Perkara ini diperakui oleh laman web StatusPeople itu sendiri. (baca di sini)

8. Jika anda periksa sendiri akaun-akaun gergasi seperti @NajibRazak, @LisaSurihani, @HishammuddinH20 anda boleh lihat satu corak yang agak serupa termasuk dengan @BarackObama dan @LadyGaga sendiri.

9. Iaitu Fake berada pada 40%-50%, Inactive berada pada 30%-40% maka good berada pada 10%-30%.

10. Hujah yang mengatakan bahawa akaun @NajibRazak itu mempunyai sehingga 48% fake account tidak boleh diguna pakai dan perkara ini telah diterangkan sendiri oleh pihak StatusPeople!

Jika Hendak Ambil Kira StatusPeople Ini AMAT TEPAT SEKALI!

1. Kita bandingkan antara @NajibRazak dan @AnwarIbrahim.







2. @NajibRazak mempunyai 823,720 followers berbanding @AnwarIbrahim yang mempunyai 184,153 followers.



3. Di sini boleh dilihat bahawa @NajibRazak menguasai 82% berbanding @AnwarIbrahim sebanyak 18% sahaja.



4. Sekiranya diambil pula pemberat Good Account iaitu @NajibRazak 16% dan @AnwarIbrahim sebanyak 29% didapati @NajibRazak masih lagi mendominasi Media Sosial sebanyak 71% manakala @AnwarIbrahim sebanyak 29%.

5. Memang terdapat sebanyak 11% penambahan oleh @AnwarIbrahim tetapi tidak bermaksud kejayaan Kerajaan BN di media sosial boleh diragui.

6. Ini pun setelah mengambil kira sekiranya aplikasi yang dibangunkan oleh laman web StatusPeople ini sangat tepat.

Kesimpulan

1. Sememangnya betul wujud akaun-akaun yang dikategorikan sebagai fake account pada setiap pemilik akaun Twitter ketika tidak kira siapa pun anda.

2. Tetapi bukanlah disebabkan oleh sindiket ataupun upah yang dibayar untuk meramaikan followers.

3. Terdapat juga individu-individu yang membuka akaun Twitter tetapi selepas itu tidak mengabaikan akaun tersebut.

4. Malaysia ini sebenarnya adalah negara membangun dan penetrasi Internet berada pada tahap 56% ketika ini. Tahap celik IT mungkin sudah meningkat tetapi kesedaran IT (IT Conciousness) belum lagi berada pada tahap yang sepatutnya.

5. Maka terdapat ramai juga pemilik-pemilik akaun yang tidak aktif, atau cuba-cuba guna ini dikira sebagai fake account. Tetapi mereka ini betul-betul menyokong kepada individu-individu yang mereka follow itu.

6. Terdapat limitasi terhadap sistem yang dibangunkan oleh manusia ini.

7. Sistem ini tidak boleh menilai sentimen-sentimen manusia yang mempunyai pelbagai lapis emosi.

8. Sistem ini juga hanya merekodkan ciri-ciri yang telah ditetapkan dan tidak dapat kesan maksud tersirat.

9. Maka sesuainya aplikasi ini hanyalah untuk garis panduan sahaja dan tidaklah boleh diambil sebagai pedoman di dalam sesuatu perkara.

10. Perkara ini sudah lama diperkatakan sejak mula-mula Facebook menjadi popular dahulu.

11. Tetapi persoalannya, mengapa dengan adanya Program Tweet Merdeka yang bakal diadakan tidak lama lagi, baru sekarang isu ini kononnya mahu dibongkarkan?

12. Gunakan hak untuk berfikir sebelum hak untuk bersuara.

Aug 15, 2012

Nasharudin Mat Isa: Bukti PAS menolak ISLAM!

Sudah lama tidak kelihatan Ust. Nasharudin begitu ceria
1. Setelah gambar Ustaz Nasharuddin Mat Isa berjumpa dengan DS Najib semasa mengerjakan umrah tersebar di facebook, terdapat banyak andaian yang mengatakan bahawa Ust. Nasha akan meninggalkan PAS.

2. Kemudian beliau tampil pula dihadapan TV dengan membawa mesej yang tidak begitu popular di kalangan pemimpin PAS; PAS perlu tinggalkan PR jika terdapat tentangan dari DAP mengenai isu hudud.

3. Dan tidak lama selepas itu, HarakahDaily pula mengeluarkan satu kenyataan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Mohd Nuri Mat Yaakob (baca di sini) dengan hebatnya menyelar kenyataan Ust. Nasha tersebut.


4. Yang menjadi pokok persoalan, adalah Ust. Nasha hanya mencadangkan perkara tersebut JIKA ditentang oleh DAP.


5. Dan DPPNK terus mengeluarkan kenyataan ini "Bagi DPPNK, katanya, PAS sedikitpun tidak rugi jika individu seperti beliau mengangkat kaki meninggalkan parti." Begitu sayang PAS kepada Karpal Singh, Lim Kit Siang dan rakan-rakan lain dari DAP.

6. PAS ketika ini sudah terang-terangan menentang Islam dan golongan Ulama. Golongan Erdogan dan Anwarinas diangkat dan disanjung seperti Mat Sabu, Husam Musa, Mahfuz Omar dan lain-lain.

7. Sebelum itu, kita perlu ingat kembali bahawa Ust. Nasha juga mengeluarkan kenyataan yang juga tidak popular; perlu adanya Kerajaan Perpaduan antara BN dan PAS untuk menjaga kesejahteraan Agama Islam.

Ust Nasha terkedu memikirkan ancaman yang dibawa DAP
8. Tetapi yang cadangan beliau ini ditentang hebat oleh kepimpinan tertinggi parti, terutamanya Nik Aziz Nik Mat. Malah, Nik Aziz pernah menyebut bahawa kenyataan Ust. Nasharudin bukanlah kenyataan PAS. Malah Nik Aziz turut menggelar Ust. Nasha sebagai 'sampah'.

Nik Aziz menghalau Ust. Nasha dengan kejam
9. Dan sejak daripada itu, beliau mula dipinggirkan oleh kepimpinan PAS sehingga kini.

10. Sebenarnya, beliau sudah awal-awal lagi dapat meramalkan kebangkitan kuasa politik DAP.

11. Dan sejak daripada keputusan PRU 12 dibacakan, negara kita menghadapi pelbagai isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama, kaum, bahasa dan lain-lain yang sebelum ini tidak pernah kedengaran.

12. Isu murtad, isu bible bahasa Melayu, Seksualiti Kemerdekaan, isu kalimah Allah, dan bermacam-macam lagi yang mencabar agama Islam sebagai agama persekutuan.

13. Isu murtad yang berlaku di DUMC yang cuba didedahkan oleh Hasan Ali turut dikecam oleh PR atas desakan DAP. Yang lebih menghairankan, PAS juga turut menyokong desakan-desakan oleh DAP terhadap Hasan Ali.

14. Adakah Ust. Nasha perlu berharap lagi agar PAS boleh mendengar saranan beliau? Ataupun sudah tiba masanya Ust. Nasha melakukan perkara yang sepatutnya dilakukan lama dahulu.

15. Kemudian, selepas Ust. Nasha mungkin tiba giliran Ust. Harun Din pula? Sama-sama kita nantikan~!


Aug 10, 2012

Upin & Ipin Tidak Masuk PAS - Les' Copaque akhirnya menjawab


1. Merujuk kepada isu yang telah dibawa oleh Team Media Selangor (artikel ini), Les' Copaque selaku syarikat yang memiliki kedua-dua ikon kanak-kanak yang terkenal di Malaysia akhirnya menjawab dan menidakkan segala kaitan Les' Copaque dengan Parti PAS.


2. Mohd Rafiezi Mohd Tahir, Penasihat undang-undang Les' Copaque menjelaskan bahawa tiada sebarang kaitan watak Upin & Ipin dengan PAS dan PAS telah menggunakan ikon Upin & Ipin itu secara haram.

3. Beliau menjelaskan bahawa ini bukan kali pertama PAS menggunakan imej Upin & Ipin ini secara haram, tetapi kes yang sama berlaku di Merlimau ketika hari pilihanraya kecil tahun lepas.

4. Sebanyak 2 notis guaman telah dihantar kepada pihak PAS tetapi PAS masih berdolak-dalik tentang perkara ini.

5. Rafiezi juga memberitahu bahawa Les' Copaque cuba menyelesaikan masalah ini dengan baik dan meminta banner tersebut untuk diturunkan. Tetapi tiada sebarang tindakan daripada pihak PAS.

6. Tetapi, kali ini Les' Copaque akan bertindak dengan lebih tegas dan tindakan undang-undang akan diambil.

7. Dijangka Les' Copaque akan membuat laporan polis pada minggu hadapan.

Senario Isu Hudud di Malaysia dijelaskan!

1. Sebelum menerangkan persoalan hudud, ada beberapa perkara yang anda perlu jelas terlebih dahulu.

Soalan
Apakah Sistem Pentadbiran Negara Malaysia?
Jawapan
Raja Berperlembagaan Demokrasi Berparlimen

Soalan
Siapakah Ketua Negara Malaysia?
Jawapan
Yang Dipertuan Agong

Soalan
Bagaimanakah Kerajaan Dipilih?
Jawapan
Melalui Pilihanraya Umum. Undi Parlimen untuk membentuk Kerajaan Persekutuan, Undi Dewan Undangan Negeri untuk Kerajaan Negeri

Soalan
Berapakah kerusi Parlimen yang ada?
Jawapan
222 kerusi parlimen

Soalan
Berapa kerusi perlu ada untuk membentuk kerajaan?
Jawapan
Majoriti mudah - 112 kerusi (1/2+1 daripada jumlah kerusi Parlimen)

Soalan
Berapa kerusi perlu ada untuk menggubal Perlembagaan?
Jawapan
Majoriti 2/3 - 148 kerusi

Soalan
Bagaimana PAS hendak membentuk Kerajaan Islam/Berkebajikan sedangkan ia bertanding kurang daripada 112 kerusi?
Jawapan
Mustahil walaupun menang semua kerusi. PAS hanya bertanding 66 kerusi Parlimen dan bercita-cita untuk menjadi Kerajaan Persekutuan.

Soalan
Adakah kepimpinan PAS sedar tentang perkara ini (memerlukan sekurang-kuranganya 112 kerusi)
Jawapan
Mereka ahli politik, sudah tentu mereka tahu. Yang penting ahlinya tidak perlu tahu.

Soalan
Bagaimana pula untuk melaksanakan hudud?
Jawapan
a. Perihal Agama Islam terletak kepada Sultan Negeri masing-masing. Yakni, di bawah Kerajaan Negeri.

b. PAS telahpun mewartakan satu enakmen Undang-Undang Jenayah II Negeri Kelantan pada 1993 dan telah ditandatangani oleh YM Sultan Ismail Petra, tetapi tidak dilaksanakan.

c. Daripada 7 hukum hudud itu, salah satu darinya dibuang dan tidak diguna pakai (Bughah)

Pengertian bughah Bughah mengikut istilah syara` adalah “ segolongan umat Islam yang melawan dan menderhaka terhadap Ulil Amri (imam) iaitu pemerintah atau kerajaan yang adil yang menjalankan hukum-hukum syariat Islam.’ (Kifayah al-Akhyar, jild 2 hal 122)

Bughah mengikut istilah ilmu tata negara adalah “perbuatan sekumpulan dan segolongan umat Islam yang memberontak untuk menentang dan menderhaka kepada ulil amri yang dinamakan jarimah siyasah( iaitu suatu kesalahan dalam politik)”.( Qanun Jinayah Syariyyah, hal 129)


d. Liwat ditaksirkan kepada orang lain tetapi isteri sendiri tidak mengapa.

Soalan
Jika di peringkat Persekutuan, bagaimana untuk laksanakan?
Jawapan
Perlu mendapat 2/3 kerusi di Dewan Rakyat dan persetujuan Majlis Raja-Raja.

Bagaimana hendak pinda dengan menang 23 kerusi sahaja pada PRU 12?

Soalan
Mungkinkah berlaku?
Jawapan
Boleh sekiranya terdapat sekurang-kurangnya 148 ahli Dewan Rakyat beragama Islam. Buat masa ini mustahil kerana Melayu berpecah di Parlimen.

Soalan
Apa yang perlu dilakukan?
Jawapan
PAS perlu kembali ke dalam BN seperti tahun 1973 di bawah kepimpinan Dr. Asri Muda.

Soalan
Mengapa tahun 1973 tidak dilaksanakan hudud?
Jawapan
Kerana masih tidak cukup kerusi 2/3 kerana dipecahkan oleh parti Gerakan (bukan Islam) ketika itu.

Soalan
Adakah DAP wajib ditolak oleh orang Islam?
Jawapan
Wajib. Kerana terang-terangan menentang Islam dan mempunyai agenda tersembunyi untuk membawa elemen Kristian di dalam negara.


Kenyataan Ulama ini tidak akan diguna pakai oleh PAS
Soalan
Bagaimana pula dengan MCA? Bukankah Chua Soi Lek pernah mendakwa akan menentang pelaksanaan hukum hudud.
Jawapan
a. MCA masih lagi di dalam BN dan dipimpin oleh orang Islam; DS Najib Razak. Maka selagi mana beliau belum mengeluarkan MCA daripada BN, maka selagi itu beliau perlu bersetuju dengan Presiden BN.

b. Dan kita perlu tahu bahawa orang Cina tidak lagi mempercayai MCA boleh membela kaum mereka. Maka dengan itu, MCA perlu bertindak dan menampakkan diri agresif dalam mebela kaum Cina. Ini adalah salah satu cara untuk menampakkan secara persepsi bahawa MCA juga seberani DAP.

c. Janganlah orang Melayu melatah dengan kenyataan sebegini kerana ini permainan politik orang Cina.

d. Tetapi jika MCA benar keluar daripada BN dan membawa agenda anti-hudud, maka mereka juga wajib ditentang sebagaimana DAP ditentang ketika ini.

2. DAP, PKR dan PAS tidak berada di bawah organisasi yang sah ataupun berdaftar. Pakatan Rakyat sebenarnya tidak pun wujud dan hanyalah cakap mulut kosong sahaja. PAS menjanjikan draf perlembagaan Pakatan Rakyat pada 2 Februari 2009, tetapi sehingga kini masih tidak ada.

3. DAP tidak berada di bawah kepimpinan orang Islam, maka ia tidak perlu untuk akur kepada PAS langsung menyebabkan ia menjadi satu entiti untuk ditentang bersama.

Mengapa bukan PAS yang mahu keluar, sebaliknya menyuruh DAP yang keluar?
4. PAS pula bersikap 'mengalah' dengan kepimpinan DAP dan setiap kali Presiden DAP, Karpal Singh membuat kenyataan menentang Islam, PAS tidak akan respon dengan agresif seperti mana respon kepada parti UMNO.
Karpal Singh mengingatkan PAS untuk menjaga ahli yang berpangkat rendah

5. Kita perlu sedar bahawa ketika ini orang Melayu hanya tinggal kuasa memerintah sahaja. Ekonomi, sosial, pendidikan terletak pada orang lain. Kita harus bersyukur kerana  kita boleh beribadah dengan selesa tanpa halangan daripada orang lain.

6. Yang menghalang diri kita untuk beribadah ketika ini adalah diri kita sendiri sahaja. Bukannya orang lain. Tidak seperti di negara lain di mana hendak beribadah pun disekat dan dihalang malah dibunuh.

7. Terdapat banyak perkara semenjak tahun 2008 yang berlaku menyentuh keperihalan orang Melayu dan Agama Islam. Diharapkan agar orang Melayu dapat membuka mata kepada realiti sebenar yang berlaku ketika ini.

Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada. (Surah al-Hajj ayat 46)

Pandelela Rinong Menghadiahkan Pingat Kedua Malaysia!

Pandelela Rinong (Kanan)

1. Sejarah telah tercipta pada hari ini apabila Pandelela Rinong telah memenangi pingat gangsa dalam acara Terjunan 10M Wanita sekaligus menjadikan wanita pertama dari Malaysia untuk memenangi pingat di peringkat Olimpik.

Di tempat ketiga dengan kutipan 359.20 mata

2. Tahniah diucapkan kepada Pandelela dan semoga menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.

Pandalela ketika Pusingan Akhir 10M wanita

Lagi Q&A Untuk Krisis Air Selangor #savesgor #khalid_watergate




1. TS Khalid Ibrahim dan Exco Kerajaan Negeri Selangor telah mengeluarkan beberapa dakwaan berikutan Krisis Air di Selangor. Berikut adalah kenyataan mereka dan jawapan kepada kenyataan-kenyataan mereka.

Q.
Krisis air tidak akan berlaku pada 2014.
A.
Krisis air sudah pun berlaku dan menurut pandangan profesional daripada Puncak Niaga, bekalan air akan berada pada tahap kritikal dalam tempoh masa 10-12 bulan lagi jika keadaan berterusan sebegini.

Q.
Tanggungjawab Kerajaan Pusat dan SYABAS untuk menyelenggara dan meningkatkan kemampuan aset-aset air di Selangor.

A.
Kerajaan Negeri Selangor adalah pemilik aset-aset air negeri Selangor yang telah diberi kuasa oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di bawah Seksyen 188 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), bertanggung jawab bagi memastikan ketersediaan air di loji-loji rawatan air di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Q.
Tidak ada keperluan catuan air di dalam masa terdekat jelas menunjukkan Selangor tidak mengalami krisis bekalan air, sekali gus menafikan keperluan pembinaan Projek Loji Rawatan Air Langat 2.

A.
Tiada keperluan catuan pada masa ini bukan bermakna tiada krisis yang akan berlaku pada 2014. Malah Kerajaan Persekutuan telah meluluskan RM606 juta untuk melaksanakan projek-projek migitasi untuk mengelakkan krisis air berikutan kedegilan Kerajaan Negeri Selangor.

Q.
Tindakan membina Loji Rawatan Air Langat 2 bertujuan untuk memastikan kroni UMNO-BN mendapat kontrak pembinaan.

A.
Tender belum lagi dikeluarkan kerana bantahan dari Kerajaan Negeri Selangor malah Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan secara tender terbuka dan anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor dialu-alukan untuk menyertai tender.

Q.
Tahap takungan air di 7 empangan berada di tahap maksimum.
A.
Masalah bukan terletak kepada kapasiti empangan tetapi kepada kapasiti Loji Rawatan Air memproses air mentah kepada air terawat.

Q.
Tarif air akan naik andai Projek Langat 2 diteruskan.

A.
Adalah tanggung jawab kerajaan negeri untuk mewartakan tarif air bukannya Kerajaan Persekutuan. Air percuma adalah kurniaan Kerajaan Negeri tetapi jika naik tarif pula kerja Kerajaan Persekutuan. Logikkah?

Dan perlu diingatkan bahawa sekiranya lebih lama projek Loji Rawatan Air Langat 2 tertangguh, lebih lama masalah air dapat diselesaikan kerana tempoh pembinaan dan boleh operasi loji tersebut akan memakan masa 3-4 tahun.


2. Demi untuk memastikan bahawa Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mempunyai bekalan air yang mencukupi, TS Muhyiddin Yassin hari ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa Projek Langat 2 akan diteruskan tanpa persetujuan Kerajaan Negeri Selangor menerusi PABB.

3. Tetapi, untuk memastikan dalam masa terdekat ini tiada gangguan bekalan air kepada rakyat, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan RM606 juta untuk tujuan migitasi.

4. Satu pembaziran duit rakyat hanya kerana TS Khalid Ibrahim enggan memberikan kerjasama dengan  Kerajaan Persekutuan.          

Aug 9, 2012

Tema Kemerdekaan Pembangkang - Kejayaan DAP di atas Kebodohan PAS


1. HarakahDaily telah melaporkan bahawa kesemua negeri di bawah pemerintahan Pakatan Pembangkang tidak akan menggunakan tema Kemerdekaan yang sama dengan Persekutuan.

2. Malah logo untuk Hari Merdeka dan Hari Malaysia juga akan diubah dan akan diumumkan pada hari ini.

3. Secara kasar, tema ini kelihatan sama seperti 1 Malaysia. Tetapi setelah diterjemah penggunaannya sebagai agen pemecah-belah rakyat, ia sebenarnya lain langsung dengan 1 Malaysia dan lebih mirip kepada Malaysian Malaysia.

4. Semangat Kemerdekaan yang ingin disemai supaya rakyat negara ini sentiasa bersatu tidak kira parti politik apa pun semakin sukar untuk dicapai.

Parti 'Islam' SeMalaysia?

5. Dan sekiranya PAS mengamalkan gaya hidup sebenar yang dianjurkan oleh Islam, mereka sepatutnya tidak akan menggunakan tema yang lain supaya tidak wujud satu bentuk permusuhan di antara rakyat.

6. Tema Merdeka "Janji Ditepati" tidak langsung bercanggah dengan akidah ataupun Islam. Maka tidak perlu untuk ditentang penggunaannya atas dasar ingin memelihara kesejahteraan negara.

7. PAS semakin hari semakin membina dan mengajak permusuhan antara rakyat Malaysia terutamanya antara sesama yag beragama Islam.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Lelaki yang paling dibenci Allah ialah lelaki yang suka perbantahan dan permusuhan"

Malaysian Malaysia!

8. Tema Kemerdekaan Pakatan Pembangkang ini akan dibawa dan digunakan terus di dalam kempen Pembangkang.

9. Tema "Sebangsa, Senegara, Sejiwa" sebenarnya adalah refleksi kepada Malaysian Malaysia iaitu teras perjuangan DAP kerana atas dasar penggunaannya sebagai agen pemecah-belah rakyat.

10. Merujuk kepada Matlamat kedua DAP di dalam dokumen Perlembagaan DAP, jelas DAP sebenarnya mahu menjadikan negara ini sekular dengan menghapuskan keistimewaan Agama Islam dan Bangsa Melayu.


11. DAP, dengan menggunakan PAS sebagai agen pemujuk agar orang Melayu bersedia untuk mengundi DAP semakin berjaya.

12. Tema Kemerdekaan yang diguna pakai ini juga adalah bukti kepada kejayaan DAP di atas kebodohan PAS.

13. Satu ketakutan DAP yang amat besar adalah orang-orang Melayu yang bersatu. Maka menjadi tugas utama DAP supaya perkara ini tidak akan dapat dicapai sampai bila-bila.

14. Ini kerana DAP sudah mengalami keadaan pada bila orang Melayu bersatu ketika 13 Mei dahulu dan ketika PAS masuk Parti Perikatan untuk membentuk Barisan Nasional (1973-1978).

15. Tetapi pada hari ini, di atas perpecahan antara orang Melayu, mengukuhkan lagi kedudukan DAP sebagai peneraju kepada kepimpinan Pakatan Pembangkang.

Aug 4, 2012

Lawak hari ini daripada PAS #SaveSgor #Paserabut


1. Salah satu daripada 'kelebihan' PAS adalah bercakap berdolak-dalik.

2. Merujuk kepada artikel daripada HarakahDaily (baca di sini). Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Osman mengatakan bahawa nak berpolitik di dalam masjid tak boleh, tetapi boleh dalam tazkirah boleh kerana politik dan Islam tidak boleh dipisahkan.

3. Dr. Rani secara tidak langsung mahu menyebut jika yang berbicara itu adalah orang yang menyokong kerajaan, tidak boleh! Berpolitik di dalam masjid! Mesti dilaporkan ke JAIS.


4. Sekiranya yang berbicara itu dari kalangan PAS, tidak mengapa sebab 'Islam'. Walaupun yang berbicara itu adalah bukan Islam dari DAP ataupun Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Ini bukan berpolitik, ini Islam dan Politik tidak boleh dipisahkan.
5. Setakat ini, semua ceramah PAS yang pernah saya hadiri, semuanya adalah tentang penyebaran kebencian. Fitnah, mencaci, mengutuk dan sebagainya menjadi lazim bagi PAS.

6. PAS sebenarnya lebih rela menyahut takbir daripada orang bukan Islam. (Lihat video di bawah)


7. Jika kita buka surah al-Baqarah ayat 83, langsung salah terjemahan tersebut. Malah Yau Con Seng ini mentafsirkan ayat tersebut mengikut fahaman beliau dan ini diterima oleh ahli PAS.


8. Memang ini bukan di masjid, tetapi takkanlah, Tuan Ibrahim Tuan Man yang fasih membaca al-Quran yang berada bersama ketika itu tidak menegur En. Yau tadi.

9. Sikap berdolak-dalik PAS ini yang menggunakan konsep "untuk aku betul, untuk kau salah" harus disedari oleh orang ramai dan harus ditolak.

10. Sekiranya dikaji sesuatu ceramah daripada PAS, pada awal ceramah tersebut penceramah akan menasihatkan penyokong jangan berbuat jahat, jangan memfitnah dan sebagainya, tetapi setelah itu, mereka pula yang membuatnya.

11. Lihat contoh di bawah


12. Gunakan hak untuk berfikir sebelum hak untuk bersuara.


Aug 3, 2012

Penjelasan Isu Krisis Air di Selangor




1. Banyak spekulasi telah dibuat mengenai isu air di Selangor.

2. Ada yang mengatakan bahawa benar, sedang berlaku satu krisis air yang agak kritikal. Ada juga yang mengatakan bahawa ia cuma satu permainan politik untuk menggagalkan kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan TS Khalid Ibrahim.

3. Tetapi setelah mendengar sendiri penjelasan yang dibuat oleh pihak Puncak Niaga dan lawatan ke Loji Rawatan Air Sungai Langat di Batu 10, Hulu Langat, banyak pencerahan dapat dibuat dan dikenal pasti.

Latar Belakang

4. Loji Rawatan Air Sungai Langat beroperasi di bawah seliaan Puncak Niaga.

5. Mereka memproses air mentah untuk dijadikan air terawat supaya boleh digunakan oleh orang ramai.

6. Air yang diproses akhirnya akan dijual kepada pihak Syabas. Syabas pula akan menyalurkan air ini kepada isi rumah di kawasan-kawasan tertentu.

7. Loji Rawatan Air Sungai Langat memproses air untuk dibekalkan kepada kawasan Selatan Selangor termasuk Kuala Lumpur.

8. Loji ini secara rekabentuknya mampu memproses 386 MG (million gallon) setiap hari. Tetapi kini beroperasi sehingga 460-470 MG setiap hari, bermakna loji ini beroperasi pada tahap 121% keupayaan.




Krisis Air

9. Krisis air ini berlaku apabila loji ini tidak dapat memenuhi permintaan pengguna atas dasar kapasiti sudah mencapai tahap maksima.

10. Dengan pertumbuhan ekonomi negara yang semakin pesat ini juga menyebabkan kadar penggunaan air bertambah dari masa ke semasa

11. Kadar pertambahan penduduk menyebabkan kadar penggunaan air juga bertambah.

12. Dengan kapasiti yang sedia ada, penggunaan air semakin tinggi tetapi prasarana masih pada keadaan 3, 4 tahun yang lampau.

13. Antara tugas Syabas adalah untuk menasihatkan kerajaan negeri tentang krisis air 3 TAHUN sebelum berlakunya krisis tersebut.

14. Permohonan telah dibuat oleh Syabas dan sudahpun diluluskan oleh kerajaan pusat tetapi belum diluluskan oleh kerajaan negeri sehingga kini. Untuk membolehkan loji baru dibina memerlukan persetujuan daripada kerajaan negeri.

Menjawab Spekulasi

Kenyataan I
"Air di empangan tinggi, mana ada masalah air!"
Jawapan
Air di empangan memang tinggi, tetapi masalah bukan bekalan air mentah, tetapi air terawat. Analogi mudah; sebuah ladang lembu mempunyai 5,000 ekor lembu tetapi tukang sembelihnya hanya ada seorang. Kemampuan untuk mengeluarkan daging ke pasaran terletak kepada tukang sembelih dan bukannya berapa banyak lembu yang ada.

Kenyataan II
"Sepanjang tahun hujan, bekalan air mesti mencukupi!"
Jawapan
Sekali lagi jawapan adalah sama seperti sebelumnya iaitu masalah bekalan air terawat. Dan tambahan lagi, sekiranya hujan lebat, loji tidak akan mampu memproses air tersebut kerana faktor kekeruhan yang tinggi. Pam loji akan rosak kerana kandungan lumpur yang terlalu tinggi untuk diproses sehingga memaksa loji perlu ditutup.

Kenyataan III
"Kita akan menggunakan air lombong!"
Jawapan
Masih lagi jawapan yang sama! Air lombong sekalipun, air tersebut perlu dirawat terlebih dahulu dan perlukan loji untuk merawat.

Kenyataan IV
"Syabas menangguhkan bayaran kepada loji sebanyak RM 2 billion untuk mencipta krisis air!"
Jawapan
Loji ini sudahpun beroperasi pada tahap 121%. Dan semua air yang diproses dijual terus kepada Syabas. Tangki 4 iaitu di Balakong yang boleh memuatkan 4 MG habis digunakan. Apabila air di tangki tersebut sudah mencapai tahap 3-4 inci ataupun setinggi buku lali, tangki tersebut tidak lagi mempunyai tekanan yang cukup untuk menyalurkan air ke isi rumah. Setiap kali air sampai ke tangki 4 ini, habis terus digunakan.

Kenyataan V
"Kerajaan BN berpakat dengan Syabas untuk tutup bekalan air untuk mencipta krisis air!"
Jawapan
Sekiranya benar, maka loji air tersebut tidak perlu untuk memproses air pada tahap 121% keupayaan. Loji-loji air yang sedia ada sudahpun beroperasi lebih daripada kadar yang sepatutnya. Jika benar Syabas tutup bekalan air, maka melimpah-limpahlah air di setiap tangki simpanan air yang ada di seluruh Selangor.

Penyelesaian

1. Cara penyelesaian yang terbaik adalah dengan membina lebih banyak loji-loji rawatan air si sekitar Selangor.

2. Syabas sudahpun menasihatkan kerajaan negeri 3 tahun yang lalu tentang krisis air yang akan berlaku.

3. Loji Rawatan Air Langat 2 tidak perlu dipolitikkan oleh PKR dan perlu dibina segera untuk menyelesaikan masalah rakyat. Pentingkan rakyat dan bukannya politik parti sahaja.

4. TS Khalid Ibrahim dan Exco Kerajaan Negeri Selangor perlu faham dengan jelas krisis air yang dihadapi dan bukannya bercakap dengan sembrono sahaja.

5. Mengikut pandangan profesional dari Puncak Niaga sendiri, sekiranya keadaan ini tidak berubah dan tiada tindakan selanjutnya diambil, Selangor secara keseluruhannya akan mengalami masalah krisis air ini dalam tempoh 10-12 bulan lagi.

6. Masalah bukan tentang air banyak di empangan, tetapi air terawat yang dikeluarkan oleh loji!

Aug 2, 2012

Mengapa Rakyat Selangor Yang Perlu Menanggung Dosa @RafiziRamli ?

1. Merujuk kepada artikel daripada KeadilanDaily berkenaan kenyataan TS Khalid yang menyatakan bahawa Kerajaan Selangor akan menanggung kos guaman Rafizi jelas menunjukkan ketidak tanggung jawaban Kerajaan PKR Selangor.

2. Persoalan yang ingin dikemukakan adalah mengapa rakyat perlu menanggung kos tersebut walhal usaha Rafizi yang kononnya untuk mendedahkan skandal NFC itu bukanlah satu pembelaan terhadap rakyat tetapi adalah untuk mendapat political mileage. 

3. Dan Rafizi sendiri mengaku bahawa memang benar beliau menyangkakan bahawa ini akan berlaku. (beliau ditangkap)

4. Mengapa atas dasar sangkaan Rafizi, beliau tidak menyediakan dana yang sepatutnya sebelum membawa kes NFC?

5. Mengapa atas ketika Rafizi sebenarnya sudahpun bersedia untuk didakwa, beliau masih lagi mahu mengharapkan untuk mendapat simpati dan duit rakyat?

6. Sememangnya Rafizi ingin dirinya didakwa kerana sebenarnya apa yang cuba dilakukan oleh Rafizi adalah untuk memenuhkan 'war chest' beliau untuk menghadapi PRU kelak.

7. Sejumlah wang yang kononnya akan dibayar oleh Kerajaan Selangor kepada guaman Rafizi akan disalurkan kepada 'war chest' tersebut. Peguam-peguam beliau pula bersedia untuk berpakat bersama-sama.

8. Kemudian, beliau minta lagi derma daripada orang ramai melalui sms, twitter dan facebook yang mula dipromosikan seawal pagi tadi. Betapa banyak wang-wang yang tidak diaudit ini masuk dengan berduyun-duyun ke dalam poket Rafizi.

9. Keduanya, adakah perlu rakyat menanggung bebanan kos terhadap seorang individu yang sebenarnya berjuangkan karier politik beliau sahaja.

10. Rafizi bukanlah seorang Ahli Parlimen, ataupun Ahli DUN di Selangor. Beliau juga telahpun meletakkan jawatan sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor. Maka atas kapasiti apa, beliau layak untuk mendapatkan peruntukan untuk kos guaman beliau?

11. Wang tersebut boleh sahaja diberikan satu atau dua lagi biasiswa kepada anak negeri Selangor melalui Yayasan Selangor.




12. Yayasan Selangor pun mengadu tidak ada duit, manakan tidak kerana wang Kerajaan Selangor dibelanjakan untuk tujuan yang tidak ada faedahnya.

Sebangsa, Senegara, Sejiwa adalah 1 Malaysia?



Latarbelakang kisah

1. Akibat terlalu takut dengan kewujudan tema kemerdekaan "Janji Ditepati" pihak Pembangkang telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk memilih tema Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-55.

2. Pengerusi jawatankuasa tersebut, A. Samad Said akhirnya telah mengumumkan tema Pembangkang sendiri iaitu "Sebangsa, Senegara, Sejiwa".

3. Menurut Pak Samad, “Kita harus bermula dengan bangsa untuk membina negara. Jadi negara, bangsa dan jiwa itu diambil seringkasnya, dengan tidak ada apa-apa niat kecuali itulah niatnya – untuk menyatakan secara kudus dan tulus."

4. Tema ini dipilih dari set 250 e-mel yang dihantar kepada jawatankuasa. Dan mengambil kenyataan yang dikeluarkan oleh Pak Samad, “Dia (kerajaan) kena ingat, (tema ini) datang dari rakyat sendiri. Kalau dia tak nak dengar kita (Pakatan Rakyat) tak apa…tapi dengar kata rakyat."

Analisa Ringkas

1. Ketandusan isu-isu hangat yang benar-benar boleh menggugat kerajaan BN menyebabkan pihak Pembangkang telah mengambil keputusan untuk memainkan isu pada peringkat persepsi, perbedaan pendapat dan bukannya tentang polisi, moral atau salah laku.

2. Isu tema ini juga selari dengan Isu logo dan lagu Janji Ditepati yang diceritakan sebelum ini.

3. Jika dilihat pada tema yang dijulang oleh Pak Samad sebagai kudus dan tulus iaitu "Sebangsa, Senegara, Sejiwa" sebenarnya telahpun sekian lama dibawa oleh kerajaan BN dibawah pimpinan DS Najib dengan label 1Malaysia.

4. Satu hujah yang boleh dikemukakan adalah, sebenarnya pihak Pembangkang bersetuju dengan apa yang cuba dibawa oleh DS Najib tetapi atas dasar ego Pembangkang maka niat itu terpaksa dipendamkan.

5. 1 Malaysia tidak lain dan tidak bukan adalah usaha untuk menyatukan seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini dengan aman dan damai. Seperti yang dikatakan oleh Pak Samad sendiri, "kita harus bermula dengan bangsa untuk membina negara"

6. Mungkin Pak Samad sebelum ini tidak pernah berhenti sejenak untuk benar-benar mendengar penjelasan sebenar tentang apa itu 1 Malaysia. Mungkin sekiranya beliau dapat garap konsep tersebut maka beliau tentu akan faham yang sebenarnya "Sebangsa, Senegara, Sejiwa" itu juga adalah sebahagian daripada elemen 1 Malaysia.

7. Mustafa Ali pada sidang media sama pula berkata, pemilihan tema oleh Pakatan Rakyat lebih inklusif, ada semangat kebersamaan, merangkumi sentimen dan jiwa seluruh rakyat Malaysia.

8. Jika benar matlamat itu yang pihak pembangkang cari maka pemilihan "Janji Ditepati" oleh kerajaan amat tepat kerana "Janji Ditepati" itu sendiri menunjukkan bahawa 1 Malaysia yang telah dijanjikan oleh DS Najib telahpun ditepati"

9. Maka tidak perlulah pihak Pembangkang untuk mensensasikan isu tema ini demi menutup kegagalan diri untuk menyempurnakan janji-janji yang belum tertunai setakat ini.

10. Jangan kerana takutkan nyamuk, habis kelambu, rumah, taman perumahan habis dibakarnya.

Aug 1, 2012

Lagu Janji Ditepati Mirip Lagu Gospel True Worshipper "Serukan Namanya"





1. Baru-baru ini blogger Pro-Pembangkang Milo Suam mengeluarkan artikel tentang lagu Janji Ditepati seakan-akan lagu Gospel True Worshipper.

2. Sekali imbas dengar memang seakan-akan dengarnya, dan sekiranya tidak dipasang serentak, akan dapat dengar bezanya.

3. Mungkin benar pencipta melodi lagu ini benar-benar mengambil inspirasi daripada lagu gospel ini, ataupun mungkin sahaja satu kebetulan. (Saya secara peribadi tidak percaya kepada kebetulan kerana setiap kejadian ada hikmahnya)

4. Belum reda isu logo dipersoalkan, isu lagu pula dipermainkan.

5. Sekiranya dikaji secara politikal, sebenarnya kedua-dua isu yang dimainkan ini tidaklah melibatkan polisi ataupun skandal. Ia sekadar persepsi yang disensasikan dengan begitu hebat.

6. Isu-isu ini tidak berkait dengan janji-janji yang BN sudahpun laksanakan.

7. Kebangkitan isu-isu sebegini adalah untuk mengalihkan perhatian (diversion) umum daripada isu sebenarnya berlaku ketika ini.

8. Isu air di Selangor, isu syiah di kalangan PAS, isu hutang Talam Corp, isu penguasaan DAP di dalam PAS melalui DHPP, dan banyak lagi kelemahan-kelemahan Pembangkang yang cuba dialihkan oleh cybertroopers Pembangkang ini.

9. Maka ramai daripada bloggers, facebookers, twitterers Pro-Kerajaan tidak lagi fokus dengan pendedahan-pendedahan tentang isu yang serius ini sebaliknya bertepuk-tampar dengan isu-isu picisan sebegini. Berjayakah pengalihan tersebut? Kita nilai melalui trend yang berlaku kini.

10. Pengalihan ini adalah teknik propagandan yang biasa digunakan oleh Pembangkang terutamanya Anwar Ibrahim apabila beliau gagal menjelaskan isu-isu mengenai beliau.

11. Isu Bersih 3.0 dilupakan, isu jam omega dilupakan, isu Badrul Amin berkhalwat dilupakan, isu Salahuddin Nasir menghina polis dilupakan, isu Faekah dilupakan, isu Latifah dilupakan, isu Samsidar dilupakan, dan beribu macam isu lain yang didedahkan oleh bloggers, facebookers, twitterers Pro-Kerajaan semuanya dilupakan.

12. Sebaliknya isu logo dan lagu ini disensasikan seolah-olah berlaku satu kepincangan besar dari segi moral, pengurusan, polisi dan sebagainya.

13. Rakyat Malaysia masih belum matang berpolitik, selagi kematangan tersebut belum tercapai, selagi itulah kita bermain dengan politik persepsi ini.

14. Dan malangnya, Kerajaan bawah pimpinan DS Najib ini gemar sungguh menari mengikut paluan gendang Pembangkang.

15. Tambahan: tidak pelikkah belum lagi dilancarkan secara rasmi logo dan lagu, begitu cepat pendedahan mengenainya dikeluarkan. Macam orang dalaman cuba sabotaj sahaja, iya tidak?

Sukan Olimpik mempunyai unsur Yahudi!

1. Kecoh sebelum ini digembar-gemburkan bahawa pohon yang dipaparkan semasa simbolik pembukaan adalah pohon Yahudi walhal pokok itu adalah pokok zaitun sebenarnya. (Google jer 'olive tree')



2. Tetapi ramai yang tidak ambil peduli tentang sejarah sukan olimpik itu sendiri. Sukan olimpik jika diikutkan kepada sejarahnya, bertujuan sebagai pemujaan kepada tuhan Greek yang bernama Zeus.

3. Rekod sejarah menunjukkan bahawa permulaan sukan Olimpik itu bermula sejak daripada 776 sebelum masehi lagi.


4. Malahan Sukan Olimpik ini adalah satu daripada dua ritual keagamaan yang terbesar ketika itu, yang terbesar adalah 'Elusinian Mysteries'.


5. Dan lebih mengejutkan lagi ketika zaman Greek, setiap hari selama sebulan ritual ini diadakan, 100 ekor lembu jantan dikorbankan atas nama Zeus.


6. Jika kita berpegang atas dasar konsep mengapa sukan Olimpik ini diadakan, kelihatan sebagai pemujaan tuhan Zeus dan tentunya perbuatan terlibat dengan sukan ini adalah syirik.


7. Tetapi, sekiranya kita dapat lihat dan hayati keindahan di dalam Islam itu sendiri, pada mana matlamat penganjuran sukan ini sudah menjadi sebagai adat tradisi. Dan sebagaimana kita tahu, adat bersendikan hukum, hukum bersendikan syarak. Selagi mana ia tidak melanggar syarak, ia boleh dilakukan.


8. Sekiranya tidak bersetuju dengan saya, upacara bersanding itu juga di dalam perkahwinan sudah dikira haram kerana berdasarkan upacara agama hindu!


9. Malahan fatwa daripada Mufti Perak Tan Sri Harussani sepatutnya perlu kita fikir dengan lebih mendalam. Beliau adalah pada tempatnya untuk mengeluarkan fatwa sedemikian. Yang peliknya, orang yang tidak berada pada tempatnya pula yang lebih mengetahui berdasarkan keupayaan untuk 'Google' sahaja tanpa berpandukan kitab dan berguru.


10. Rakyat Malaysia ini sudah terlalu taksub dengan segala perkara yang dikaitkan dengan Yahudi dan juga konspirasi Yahudi. Seolah-olah mempercayai bahawa Yahudi itu mempunyai kuasa ke atas hidup kita. Bukankah itu sendiri sudah mengganggu akidah kita sebagai umat Islam yang yakin dan percaya hanya kepada Allah Taala semata-mata.


11. Ramai yang tidak bersetuju dengan saya apabila saya katakan begini: "Zaman sekarang pun, kita dapat pergi Haji pun kerana teknologi Yahudi (kapal terbang, komputer, dsbnya)"



"Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti (perasaan kamu dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas). Dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah dengan sehina-hinanya); sesudah itu mereka tidak akan mencapai kemenangan." Surah Al-Imran Ayat 111

"Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." Surah At-Taghabun Ayat 11